‘KENAPA MELAKA TAK RELAKS?’ INI KATA TOK RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

ASAHAN 23 Ogos – “Tok Rauf, apa yang tak relaks sangat Melaka ni… Ketua Menteri sendiri pula turun dari satu DUN ke satu DUN?”

Itu menjadi antara persoalan yang bermain di minda rakyat Melaka selepas melihat kesungguhan pemimpin negeri memperkasa pelbagai inisiatif baik dalam sudut ekonomi hinggalah menyentuh denyut nadi rakyat.

Menjawab persoalan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan berkenaan dilakukan kerana beliau tidak mahu pentadbiran kerajaan terpisah daripada denyut sebenar kehidupan rakyat.

“Jawapan saya mudah… kerana sejak diberikan amanah memimpin negeri ini, saya tidak mahu pentadbiran kerajaan terpisah walau seinci daripada denyut sebenar kehidupan rakyat.

“Lebih-lebih lagi, saya juga tidak mahu Kerajaan Negeri hanya hebat di puncak pentadbiran, tetapi hilang sentuhannya di akar umbi,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah MeSRa Bersama Masyarakat bersempena siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di Taman Nyalas Permai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Menurut Ab Rauf, pendekatan turun padang itu merupakan antara manifestasi gagasan Melaka Sayang Rakyat yang menjadi payung kepada gerak kerja beliau bersama seluruh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

“Inilah sebenarnya wajah Melaka Sayang Rakyat yang menjadi payung besar kepada gerak kerja saya dan seluruh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

“Ia bukan sekadar slogan yang kita laungkan atau nama yang kita letakkan pada sesuatu program, tetapi gagasan yang meletakkan rakyat sebagai titik mula dan matlamat akhir setiap usaha kerajaan,” katanya.

Ketua Menteri berkata, DUN Asahan menjadi destinasi ke-15 dalam siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus mendekati rakyat di segenap pelusuk negeri.

“Ini bermakna, semakin jauh jelajah ini bergerak, semakin banyak suara rakyat yang kita dengari dan semakin besar amanah yang perlu kita susuli dengan tindakan.

“Kita mahu rakyat tahu bahawa kerajaan bukan hanya berada di pejabat atau di pusat pentadbiran, tetapi sentiasa dekat dengan mereka dan bersedia mendengar sendiri apa yang diperlukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

360
Kongsi :
Previous post MELAKA TERUS PERKASA SEKTOR KOMUNITI, KESIHATAN
Next post TOK RAUF PUJI KOMITMEN YB ALONG SANTUNI 32,000 WARGA ASAHAN