
FORMULA YB ALONG NOKTAHKAN PENANTIAN ANAK PENEROKA
ASAHAN 24 Ogos – Penantian kira-kira 15 tahun 106 generasi kedua peserta Felcra Bukit Sedanan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan untuk mendapatkan penyelesaian isu tanah akhirnya terlerai hasil formula yang diusahakan Datuk Fairul Nizam Roslan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan itu berkata, isu berkenaan mula dibangkitkan kepadanya ketika beliau berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 selepas menerima keluhan daripada anak-anak peneroka yang masih belum mendapat penyelesaian berkaitan lot tanah mereka.
Katanya, selepas mengambil maklum perkara itu, beliau berusaha mencari kaedah dan peruntukan bersesuaian dalam tempoh empat hingga lima tahun bagi memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan.
“Jadi apabila kita berbincang dalam tempoh empat hingga lima tahun ini, saya cuba cari jalan dan ikhtiar dengan bermacam-macam cara. Akhirnya saya mendapat satu formula dan formula ini dipersetujui oleh Ketua Menteri untuk tanah-tanah ini diberikan satu lot seperti mana yang telah diplotkan lebih awal oleh Felcra kepada semua anak-anak peneroka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Ramah MeSRa Bersama Masyarakat sempena siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Asahan yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran Nyalas, Taman Nyalas Permai, di sini, pada Ahad.
Menurut Fairul Nizam, usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila kesemua 106 generasi kedua terbabit menerima Notis 5A bagi lot tanah masing-masing dan bukan itu sahaja, Kerajaan Negeri turut membantu memudahkan kesemua penerima dalam menyelesaikan bayaran premium tanah.
Katanya, inisiatif membabitkan kemudahan pinjaman perumahan khas untuk generasi kedua berkenaan menerusi Melaka Finance House yang boleh diselaraskan dengan bayaran premium tanah.
“Ketua Menteri sudah maklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan berusaha memudahkan pinjaman perumahan khas untuk generasi kedua ini di mana, pembiayaan bagi pembinaan rumah boleh disekalikan dengan bayaran premium.
“Jadi mereka hanya akan menanggung hutang di satu tempat sahaja dan diberikan diskaun lima peratus sekiranya premium ini dapat dijelaskan secara habis 100 peratus,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


