
‘TOK RAUF, YB ALONG BAGAI ANUGERAH BUAT KAMI’
ASAHAN 25 Ogos – Dua pemimpin ini bagai anugerah untuk kami, itu kata generasi kedua Felcra Bukit Sedanan yang menyifatkan usaha Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan menyelesaikan penantian lebih 15 tahun sebagai sesuatu yang amat bermakna.
Bagi Faizal Mohd Yusof, 47, yang sudah 25 tahun menetap di kawasan berkenaan, penerimaan Notis 5A bagi pemilikan tanah itu menjadi detik paling menggembirakan selepas pelbagai perbincangan dan usaha dilakukan sejak sekian lama.
Katanya, pengumuman Ab Rauf berhubung usaha meringankan bayaran premium tanah turut memberi kelegaan kepada generasi kedua yang kebanyakannya tidak mempunyai kemampuan untuk menanggung bayaran premium yang tinggi.
“Memang rasa gembira kerana kita menunggu keputusan ini agak lama, sampai 15 tahun. Sudah beberapa kali perbincangan dan juga pecah tanah dilakukan, tetapi kali ini betul-betul kita rasa gembira.
“Bagi saya, apa yang Ketua Menteri dan YB Along (Fairul Nizam) lakukan satu anugerah untuk kami kerana pemimpin ini amat prihatin kepada kita bukan sahaja membantu dalam aspek pemilikan tanah, tapi turut meringankan beban dalam aspek pembayaran premium tanah.
“Kedua-dua mereka mengambil berat dan membuat banyak keputusan untuk membina kepercayaan dan memberi kepuasan kepada rakyat. Inilah yang rakyat harapkan daripada seorang pemimpin,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Serahan Notis 5A Felcra Generasi Ke-2 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Asahan di Dewan Orang Ramai FELCRA Bukit Sedanan, di sini, pada Ahad.
Nada sama turut disuarakan Norasiah Sharif, 38, yang menyifatkan penerimaan Notis 5A membuka peluang kepada generasi kedua untuk merealisasikan impian memiliki kediaman sendiri selepas sekian lama menetap di rumah keluarga.
“Perasaan memang sukar diungkapkan, gembira sangat-sangat. Saya mewakili generasi kedua mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri dan YB Along kerana merealisasikan penantian kami selama 15 tahun.
“Kedua-dua mereka membuktikan reputasi sangat baik sebagai pemimpin kerana turun mendekati rakyat, mendengar keluhan dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya yang telah menetap di kawasan itu selama 38 tahun.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felcra Desa Mesra Perdana Bukit Sedanan Abu Samah Mahmud berkata, seramai 106 generasi kedua kawasan itu bakal menerima satu lot tanah yang dianggarkan berkeluasan 5,000 kaki persegi.
Jelas beliau, selepas menanti lebih satu dekad, rata-rata generasi kedua di kawasan itu amat berpuas hati dan bersyukur dengan bantuan yang diberikan pemimpin negeri dalam menoktahkan penantian anak peneroka di kawasan itu.
“YB Along banyak mencari jalan dalam merealisasikan hasrat generasi kedua ini dan dibantu pula dengan Ketua Menteri yang sangat prihatin dan sentiasa berusaha membantu rakyat.
“Tidak dilupakan juga kepada pihak pengurusan Felcra yang turut bersama membantu sehinggalah penyerahan notis 5A ini dapat direalisasikan,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

