RM1.7 JUTA NAIK TARAF MAAHAD TAHFIZ TVET PULAU BESAR

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BUKIT PALAH 25 Ogos – Bangunan lama Maahad Tahfiz Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pulau Besar yang berusia lebih 30 tahun bakal dinaik taraf membabitkan peruntukan berjumlah RM1.7 juta.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada jumlah itu RM1 juta diterima daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) manakala RM700,000 lagi menerusi dana TVET Negeri Melaka.

Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, kerja naik taraf itu termasuk menggantikan struktur bangunan kayu sedia ada kepada binaan batu serta menggantikan pendawaian elektrik.

“Bangunan ini sudah berusia lebih 30 tahun dan kita melihat ada keperluan untuk menaik taraf bukan sahaja struktur bangunan, malah fasiliti serta aspek keselamatan bagi memastikan kemudahan yang disediakan lebih selamat serta selesa.

“Kerja naik taraf penting bagi memastikan Maahad Tahfiz ini terus menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif selain memenuhi keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka Tahun 1448H/2026M di perkarangan Dataran Pusat Islam, hari ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam;
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Rahmad berkata, ketika ini pihaknya sedang dalam proses mendapatkan Kebenaran Merancang daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebelum projek berkenaan boleh dilaksanakan.

“Projek ini akan dimulakan dalam tahun ini dan selesai memperoleh kebenaran merancang ia akan dilaksanakan oleh Perbadanan Melaka (MCORP).

“Secara keseluruhannya, kita menjangkakan projek naik taraf ini akan mengambil masa dalam tempoh setahun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

446
Kongsi :
Previous post BEKALAN TELUR MELAKA MASIH CUKUP – DR. AKMAL