KDNK MELAKA MENINGKAT RM50.3 BILION PADA 2025

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Ekonomi Melaka terus menunjukkan prestasi positif apabila nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri meningkat kepada RM50.3 bilion pada 2025, berbanding RM48.8 bilion pada tahun sebelumnya, dengan pertumbuhan sebanyak 3.0 peratus.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu mencerminkan kedudukan ekonomi negeri yang semakin kukuh, disokong prestasi pelaburan dan pengukuhan sektor-sektor strategik.

“Prestasi berkenaan turut disokong pencapaian pelaburan diluluskan sebanyak RM14.68 bilion membabitkan 312 projek pada 2025, sekali gus menjadi pencapaian pelaburan tertinggi negeri dalam tempoh 22 tahun.

“Insya-Allah, RM14.68 bilion ini diterjemahkan kepada peluang-peluang pekerjaan. Pelaburan ini pastinya akan membuka rezeki. Kilang yang dibina pastinya akan melahirkan peluang kepada anak Melaka dan kemajuan ekonomi kelak akan meningkatkan kualiti hidup sebuah keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Taat Setia Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Tuan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri memperkukuh sektor strategik termasuk semikonduktor, pembuatan berteknologi tinggi, logistik dan ekonomi digital, selain menyediakan bakat tempatan menerusi pendidikan teknikal dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, Melaka kini menjadi lokasi pemain industri global seperti Infineon Technologies dan Texas Instruments, di samping ratusan syarikat pembuatan yang membentuk ekosistem industri yang semakin kukuh.

“Pembangunan seperti Melaka Inland Port dan projek strategik industri yang lain pula akan memperluas rantaian ekonomi serta meningkatkan keupayaan Melaka sebagai sebuah negeri perdagangan dan perindustrian yang semakin kompetitif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

532
Kongsi :
Previous post MELAKA SEDANG CIPTA MOMENTUM UNTUK RAKYAT
Next post MESRA PASTIKAN RAKYAT BERADA DI TENGAH-TENGAH DASAR KERAJAAN