
AYUH BEKERJA SEBAGAI SATU PASUKAN MELAKA
SERI NEGERI 24 Ogos – Seluruh penjawat awam, jabatan, agensi, anak syarikat Kerajaan Negeri dan kepimpinan Melaka diseru mengetepikan pendekatan bekerja secara silo sebaliknya bergerak sebagai ‘satu pasukan Melaka’ demi memastikan setiap pencapaian negeri diterjemahkan kepada manfaat kepada rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan yang dicapai Melaka bukan alasan untuk berasa selesa atau mendabik dada, sebaliknya membawa tanggungjawab lebih besar untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Semakin tinggi Melaka melangkah, semakin besar amanah yang perlu kita pikul. Semakin banyak kejayaan yang diraih, semakin kuat tuntutan rakyat terhadap mutu perkhidmatan kerajaan.
“Jadi, jangan bekerja dalam silo. Jangan berlumba mencari nama. Jangan biarkan birokrasi menjadi tembok antara kerajaan dengan rakyat. Walaupun masing-masing datang daripada jabatan yang berbeza, portfolio yang berbeza dan latar belakang yang berbeza, tetapi tanggungjawab kita tetap satu, iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat dan memajukan Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Taat Setia Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Tuan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, pendekatan bekerja sebagai satu pasukan penting bagi memastikan kestabilan yang dinikmati Melaka terus diperkukuh, selain menjamin kesinambungan agenda pembangunan negeri untuk generasi akan datang.
“Bukan untuk membina Melaka bagi satu atau dua tahun. Tetapi untuk mewariskan negeri Melaka yang lebih kukuh kepada generasi selepas kita.
“Matlamat ini merangkumi usaha membina Melaka yang ekonominya kuat, rakyatnya terbela, anak mudanya berani, warisannya terpelihara serta pentadbirannya berintegriti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


