LEBIH 7,000 MERIAHKAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

DUYONG 25 Ogos – Sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M Peringkat Negeri Melaka menghimpunkan lebih 7,000 peserta daripada 101 kontinjen, sekali gus mencerminkan penyertaan menyeluruh pelbagai agensi, institusi dan komuniti di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sambutan luar biasa yang ditunjukkan peserta menggambarkan wajah Melaka yang diinginkan, iaitu sebuah negeri yang rakyatnya mampu berdiri bersama walaupun berbeza latar belakang dan peranan.

“Sejajar dengan tema sambutan pada tahun ini ‘Madani Dihayati, Ummah Diberkati’ tema ini bukan sekadar ungkapan untuk menghiasi sambutan malah seruan supaya dihayati nilai-nilai yang dibawa Islam, sekali gus menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.

“Walaupun datang daripada latar belakang yang berbeza, membawa peranan yang berbeza, kita tetap berdiri bersama dalam satu saf, melangkah dengan satu semangat dan dipertautkan oleh rasa hormat, kasih dan kerinduan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka Tahun 1448H/2026M di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, hari ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, penghayatan terhadap nilai Islam perlu dizahirkan melalui akhlak, amanah dan kebaikan yang dilakukan terhadap orang di sekeliling, selaras dengan contoh yang ditunjukkan Rasulullah SAW.

“Baginda hadir menyatukan yang terpisah, mendamaikan yang bersengketa, memperjuangkan yang lemah dan membina sebuah ummah yang berdiri atas keadilan, amanah serta kasih sayang.

“Sebab itulah, melalui gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRA), Kerajaan Negeri akan terus berpegang kepada satu prinsip bagi memastikan tiada seorang rakyat yang tercicir serta terpinggir daripada perhatian kerajaan,” katanya.

Jelas beliau, selagi ada ruang untuk dibantu, selagi ada jalan untuk diusahakan dan Kerajaan Negeri akan terus hadir, menyantuni dan terus mencari jalan terbaik untuk rakyat Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

786
Kongsi :
Previous post 40 KEDIAMAN ORANG ASLI DUN MACHAP JAYA AKAN DIBAIK PULIH
Next post KEBAKARAN MAAHAD TAHFIZ TVET TIDAK MELIBATKAN PELAJAR