
KEBAKARAN MAAHAD TAHFIZ TVET TIDAK MELIBATKAN PELAJAR
BUKIT PALAH 25 Ogos – Kebakaran sebuah bangunan di Maahad Tahfiz TVET Pulau Besar, semalam, tidak membabitkan pelajar apabila kesemua 30 penghuni di pusat berkenaan dilaporkan selamat.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kebakaran yang berlaku hanya membabitkan sebuah bangunan menempatkan stor dan kelas sudah tidak lagi digunakan.
Rahmad berkata, beliau bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah ke lokasi kejadian bagi melakukan siasatan.
“Kejadian tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan kepada pelajar yang mana kesemua mereka selamat. Kebakaran hanya membabitkan perabot seperti katil serta tilam.
“Punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan pihak forensik bomba akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian namun anggaran kerugian dianggarkan lebih RM100,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka Tahun 1448H/2026M di perkarangan Dataran Pusat Islam, hari ini.
Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Saleh.
Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata, bangunan yang terjejas bukan sahaja akan dibaik pulih malah akan dinaik taraf menerusi peruntukan yang diperoleh.
“Di pihak Kerajaan Negeri pastinya kita akan bantu untuk baik pulih memandangkan usia bangunan ini lebih 30 tahun.
“Selain itu saya juga sudah meminta JAIM untuk mengambil langkah keselamatan lebih praktikal dengan menubuhkan pasukan sukarelawan bomba dalam kalangan pelajar supaya sebarang kejadian dapat ditangani dengan segera,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


