BUKIT RAMBAI, ALOR GAJAH CATAT BACAAN IPU TIDAK SIHAT

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 25 Ogos – Stesen pemantauan kualiti udara di Bukit Rambai dan Alor Gajah merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat setakat jam 10 pagi tadi.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, bacaan IPU di Bukit Rambai adalah 155 manakala Alor Gajah 151, dengan kedua-duanya direkodkan bagi parameter PM2.5.

“Kerajaan Negeri Melaka sentiasa memantau perkembangan kualiti udara di negeri ini dan mengambil perhatian terhadap peningkatan bacaan IPU di beberapa kawasan sejak semalam.

“Buat masa ini, tiada aktiviti pembakaran terbuka dikesan atau dilaporkan di kawasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rais berkata, keadaan itu bagaimanapun tidak seharusnya menimbulkan panik dalam kalangan rakyat, sebaliknya orang ramai disaran mengambil langkah berjaga-jaga sementara pemantauan kualiti udara diteruskan oleh agensi berkaitan.

Menurutnya, golongan yang lebih sensitif terhadap perubahan kualiti udara, khususnya pesakit asma, kanak-kanak dan wanita mengandung, disarankan mengurangkan aktiviti fizikal lasak atau terlalu lama di kawasan terbuka sekiranya keadaan udara kurang baik.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan sekiranya mengalami ketidakselesaan seperti batuk berpanjangan, sesak nafas atau gejala berkaitan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, Rais menyeru semua pihak supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, termasuk pembakaran sampah atau bahan lain yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.

Katanya, Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau bacaan kualiti udara dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya keadaan memerlukan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kebimbangan atau panik dalam kalangan masyarakat.

“Keadaan semasa masih dalam pemantauan. Yang penting, kita sama-sama mengambil langkah berjaga-jaga, menjaga kesihatan diri dan memastikan tiada aktiviti yang boleh memburukkan lagi keadaan kualiti udara di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

364
Kongsi :
Previous post KEBAKARAN MAAHAD TAHFIZ TVET TIDAK MELIBATKAN PELAJAR
Next post 13 MENARA, STESEN MINYAK, ATM: YB ALONG SEJAHTERAKAN HIDUP WARGA ASAHAN