
13 MENARA, STESEN MINYAK, ATM: YB ALONG SEJAHTERAKAN HIDUP WARGA ASAHAN
ASAHAN 25 Ogos – Kemudahan asas dan kebajikan masyarakat luar bandar menjadi fokus utama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan sepanjang tempoh lima tahun menerajui kawasan itu.
Fairul Nizam berkata, antara usaha yang dilaksanakan termasuk pembinaan 13 menara telekomunikasi di DUN Asahan, selain mengusahakan kemudahan stesen minyak dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bagi memudahkan urusan harian penduduk.
Katanya, usaha memperkukuh kemudahan telekomunikasi menjadi antara perkara yang diberi perhatian sejak awal memegang amanah pada 2021, mengambil kira status Asahan sebagai kawasan luar bandar.
“Memang daripada awal 2021, perkara yang saya ingin selesaikan adalah masalah telekomunikasi di kawasan luar bandar ini. Alhamdulillah, kita telah bina 13 menara di DUN Asahan dan yang terakhir adalah di kawasan Jus Permai,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah MeSRa Bersama Masyarakat sempena siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Asahan yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran Nyalas, Taman Nyalas Permai, di sini, pada Ahad.
Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, usaha memperluas kemudahan asas turut merangkumi penyediaan stesen minyak di kawasan Kampung Mantai yang kini dalam pembinaan.
Katanya, beliau turut mengusahakan sebuah lagi stesen minyak di kawasan Pekan Asahan bagi mengurangkan kebergantungan penduduk untuk mendapatkan keperluan asas itu di lokasi yang lebih jauh iaitu terletak kira-kira 20 kilometer daripada penempatan penduduk.
Menurutnya, kemudahan ATM turut dirancang untuk disediakan bersama stesen minyak yang sedang dibangunkan di kawasan Pekan Nyalas, sekali gus mewujudkan kemudahan sehenti untuk penduduk setempat.
Katanya, kemudahan berkenaan amat penting kerana sebelum ini penduduk terpaksa ke Jasin bagi mendapatkan perkhidmatan berkenaan.
Dalam pada itu, Fairul Nizam berkata, sekiranya diberi mandat untuk terus mentadbir DUN Asahan pada penggal akan datang, aspek kebajikan masyarakat akan kekal menjadi antara fokus utamanya.
Katanya, kebajikan tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut bantuan kewangan atau agensi kebajikan, sebaliknya turut merangkumi usaha memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

