SEMBILAN BERADIK YATIM PIATU, MAIM PASTIKAN KEBAJIKAN TERJAMIN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

JASIN 27 Ogos – Nasib sembilan beradik yatim piatu mendapat perhatian Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang tampil memastikan kebajikan serta pendidikan mereka terus terpelihara.

Lebih menyayat hati, tujuh daripada sembilan beradik berkenaan masih bersekolah, manakala anak bongsu berusia tiga tahun pula sedang menjalani rawatan akibat penyakit kanser hati.

MAIM dalam satu kenyataan berkata, Skuad Agihan Zakat MAIM (SAZ) Cawangan Jasin bersama Skuad Kebajikan Balai Islam MAIM menyantuni keluarga berkenaan di Taman Maju, Jasin, susulan kematian bapa mereka, Allahyarham Muhammad Zamani Balakrishnan baru-baru ini, manakala ibu mereka telah terlebih dahulu pergi meninggalkan mereka.

Menurut kenyataan itu, selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa, tanggungjawab menjaga kebajikan sembilan beradik berkenaan kini dipikul oleh dua kakak mereka.

“Anak sulung kini bekerja sambilan, manakala anak kedua baru sahaja menamatkan pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Cawangan Alor Gajah dan kedua-duanya kini memikul amanah menjaga serta menyara adik-adik mereka,” kata kenyataan itu.

Dalam kunjungan berkenaan, SAZ MAIM bersama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Mohd Raziff Yakop serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil perhatian terhadap keperluan keluarga berkenaan, khususnya dari aspek pendidikan dan kehidupan harian.

Turut menyantuni keluarga berkenaan ialah Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM, Mohd Nasir Wahab dan Pegawai Agihan Zakat MAIM Cawangan Jasin, Mazfazil Ismail.

MAIM berkata, pihaknya akan memastikan bantuan yang bersesuaian disalurkan bagi membantu sembilan beradik itu meneruskan kehidupan, selain memastikan pendidikan mereka tidak terjejas.

Antara skim bantuan yang disediakan MAIM termasuk bantuan makanan bulanan, wang saku persekolahan secara bulanan, bantuan sakit kronik, bantuan pakaian sekolah serta bantuan persediaan Ramadan.

“Sama-sama kita doakan keluarga ini dapat meneruskan kehidupan bersama dan memastikan pendidikan mereka terjamin demi masa depan yang lebih baik.

“Jutaan terima kasih kepada pembayar zakat di negeri ini. Insya-Allah amanah anda mampu memberi sedikit cahaya kehidupan kepada asnaf dan golongan memerlukan,” tambah kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

732
Kongsi :
Previous post KETUA FOTO, WARTAWAN MHI TERIMA PINGAT JASA KEBAKTIAN