
INISIATIF KAMPUNG DIGITAL 2.0 DIPERLUAS KE SELURUH MELAKA
GADEK 27 Ogos – Pelaksanaan inisiatif Kampung Digital 2.0 akan diperluaskan ke seluruh Melaka bermula dengan Kampung Baru, Felda, Felcra, taman perumahan, kawasan industri, pusat komersial dan kawasan perindustrian.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebagai langkah awal, gerak kerja bagi kampung bukan tradisional dicadangkan bermula antara Oktober hingga Disember 2026, sebelum Kampung Digital Melaka 2.0 dilaksanakan secara berfasa dari tahun 2027 hingga 2030.
Katanya, walau bagaimanapun tiga cabaran asas mesti dirungkai terlebih dahulu sebelum Kampung Digital 2.0 diperluaskan iaitu ketidakseragaman format alamat melibatkan sistem nombor pintu berurutan, sistem berasaskan mukim serta nombor lot digunakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Perbezaan ini mungkin kelihatan teknikal, tetapi kesannya cukup besar kerana akan timbul kekeliruan rumah, kesukaran pengesahan lokasi, sekali gus menjejaskan kecekapan agensi untuk menyalurkan perkhidmatan kepada kumpulan sasar.
“Justeru, semua PBT perlu bergerak ke arah satu format alamat seragam berasaskan piawaian ditetapkan, termasuk penyelarasan koordinat geokod, penentuan lorong serta arah premis supaya sistem navigasi keselamatan dan logistik komersial dapat beroperasi dengan lebih tepat dan cekap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Bengkel Penjajaran Hala Tuju Kampung Digital Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inivasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco, Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Saiful Hazwa Kipli.
Ab Rauf berkata, cabaran kedua adalah keperluan mengintegrasikan data negeri bagi menghubungkan alamat digital dengan pelbagai perkhidmatan rakyat, termasuk bantuan, utiliti, urusan tanah dan tindak balas kecemasan.
Menurutnya, dalam konteks ini, potensi integrasi dengan sistem tindak balas kecemasan MERS 999 juga wajar diperhalusi supaya ketepatan alamat dapat membantu pasukan kecemasan tiba di lokasi dengan lebih pantas.
“Ketiga pula melibatkan perlindungan data peribadi dan penerimaan rakyat. Pembangunan sistem Kampung Digital 2.0
mesti disertai dengan mekanisme keizinan digital, kawalan akses serta tatakelola data yang telus agar kemudahan teknologi tidak mengorbankan hak, keselamatan dan keyakinan rakyat.
“Merentas ketiga-tiga cabaran ini, tahap literasi digital serta penerimaan rakyat juga mesti diperkukuh dan dilaksanakan menerusi gerak kerja di lapangan oleh PBT, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), balai raya serta pusat komuniti di seluruh negeri,” katanya.
Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, hasrat merealisasikan Kampung Digital Melaka 2.0 mesti disusuli dengan satu garis masa tersusun, supaya setiap fasa dilaksanakan membawa negeri ini semakin hampir kepada matlamat akhir.
“Menjelang tahun 2030, kita menyasarkan lebih 95 peratus isi rumah didaftarkan, di samping penyelarasan sistem alamat yang merangkumi seluruh bangunan dan premis di Negeri Melaka. Sementara itu menjelang 2035 pula, kita mahu melangkah lebih jauh dengan menyasarkan setiap premis di Negeri Melaka mempunyai satu alamat digital yang unik, sah dan berautoriti menerusi pelaksanaan penuh dasar Alamat Tunggal atau Single Reference Address.
“Apa yang sedang kita bina bukan sekadar kesinambungan Kampung Digital. Sebaliknya, mebina satu rangkaian trnsformasi yang jauh lebih besar. Daripada 618 kampung kita perluaskan ke seluruh bumi bertuah Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


