
KAMPUNG DIGITAL: BUKTI MELAKA BERANI JADI PENCETUS PEMBAHARUAN
GADEK 27 Ogos – Kejayaan Kampung Digital membuktikan keberanian Melaka menjadi pencetus kepada pembaharuan serta memiliki keupayaan untuk merealisasikan inisiatif itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, pencapaian itu bukan sekadar sesuatu yang membanggakan malah meletakkan Melaka sebagai negeri perintis dalam pelaksanaan Kampung Digital di Malaysia.
“Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, Kampung Digital 1.0 telah mencetuskan satu pembaharuan penting dalam sistem pengalamatan di Negeri Melaka menerusi pelaksanaan alamat baharu, kod QR premis serta pemetaan lokasi yang berasaskan piawaian.
“Alhamdulillah, sehingga hari ini kita telah berjaya mentransformasi sistem pengalamatan di kesemua 618 buah kampung tradisional di seluruh Negeri Melaka, melibatkan 88,440 buah premis dan memberi manfaat kepada 320,775 penduduk kampung,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Bengkel Penjajaran Hala Tuju Kampung Digital Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inivasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco, Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Saiful Hazwa Kipli.
Ab Rauf berkata, berbekalkan momentum itu, Melaka mesti membawa kejayaan ini ke tahap yang lebih tinggi dan Kampung Digital tidak boleh kekal sebagai sebuah sistem pengalaman semata-mata.
“Kampung digital mesti berkembang menjadi sebuah ekosistem digital bersepadu menghubungkan lokasi, data dan perkhidmtan supaya teknologi ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


