
MELAKA SHOWCASE BUKA PINTU USAHAWAN TEMBUS PASARAN, SASAR RM4.16 JUTA
KUALA LUMPUR 28 Ogos – Melaka Showcase 2026 bukan sekadar mengetengahkan identiti dan warisan negeri, malah menjadi platform membuka laluan lebih luas kepada usahawan tempatan menembusi pasaran menerusi sesi Padanan Perniagaan (Business Matching) yang menyasarkan nilai jualan RM4.16 juta.
Program itu menghimpunkan 64 usahawan Melaka yang mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan merangkumi makanan, kraftangan, budaya serta produk berasaskan identiti dan warisan negeri.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, penganjuran Melaka Showcase amat bertepatan dalam memperkenalkan keunikan negeri kepada pasaran lebih luas, khususnya menerusi produk usahawan tempatan.
“Penganjuran program ini amat bertepatan dalam menjenamakan Melaka sebagai destinasi pelancongan, ekonomi dan keusahawanan yang mempunyai nilai komersial tinggi, di samping membuka ruang kepada usahawan Bumiputera mempromosikan produk dan perkhidmatan kepada pelanggan, pemain industri serta rakan strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meluangkan masa beramah mesra bersama usahawan serta menyantuni peserta menerusi sesi walkabout di reruai pameran Melaka Showcase 2026, di Medan MARA, di sini, pada Khamis.
Mohd Noor Helmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong berkata, sesi padanan perniagaan yang menghimpunkan usahawan Melaka bersama syarikat, pembeli dan rakan strategik berpotensi merupakan antara pengisian penting kerana memberi peluang kepada usahawan memahami keperluan pasaran secara lebih dekat.
Antara pemain industri yang terlibat termasuk MYDIN, Family Store, Suri Delicacies, Fresca Mart, SH Synergy Sdn Bhd, Pasaraya ST Rosyam, Pasaraya Econsave, Pasaraya Jasin Point dan Pasaraya Angee.
“Saya amat teruja dengan inisiatif MARA Melaka membawa sesi Business Matching di Melaka Showcase 2026 kerana usaha ini mampu memberikan peluang lebih besar kepada usahawan Melaka untuk memahami keperluan pasaran serta membuka laluan kepada produk tempatan memasuki saluran pasaran yang lebih luas,” katanya.
Melalui penyertaan 30 usahawan dalam sesi Business Matching@Melaka Showcase 2026, program itu menyasarkan nilai jualan RM4.16 juta merangkumi jualan terus, peluang pembekalan, jaringan perniagaan serta potensi kerjasama komersial.
Pada lawatan itu, Mohd Noor Helmy turut menyempurnakan peluncuran produk baharu TMF Batek Melaka iaitu produk batik bermotifkan bunga kesidang yang mengetengahkan elemen warisan dan identiti negeri.
Beliau berkata, penghasilan produk baharu berteraskan identiti tempatan penting bagi memastikan warisan Melaka terus diketengahkan dalam bentuk yang lebih kreatif dan mempunyai nilai komersial.
“Diharapkan inisiatif seumpama ini dapat memberi suntikan semangat kepada usahawan Melaka untuk terus menghasilkan produk baharu, meningkatkan nilai tambah serta memperkukuh penjenamaan bagi memenuhi kehendak pasaran semasa,” katanya.
Melaka Showcase 2026 yang berlangsung 26 hingga 28 Ogos di Medan MARA Kuala Lumpur menjadi platform dalam memperkenalkan produk, identiti dan potensi negeri kepada pasaran luar, selain memperluas peluang komersial kepada usahawan tempatan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


