SEDEKAD ASBAM PERKUKUH BUKTI SEJARAH KESULTANAN MELAYU MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

BANDA HILIR 29 Ogos – Penemuan artifak dan bahan arkeologi yang disokong catatan sejarah terus menjadi asas penting dalam memperkukuh pemahaman mengenai sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan Alam Melayu menerusi penganjuran Seminar Antarabangsa Arkeologi, Sejarah dan Budaya di Alam Melayu (ASBAM).

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Erne Hamsah berkata, penganjuran ASBAM-X yang memasuki siri ke-10 bukan sekadar menghimpunkan pakar untuk berkongsi dapatan kajian, malah menjadi wadah memperkaya serta meluruskan pemahaman mengenai sejarah Alam Melayu berdasarkan bukti yang sahih.

Katanya, seminar anjuran bersama Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IAAM) dan Melaka World Heritage itu menghimpunkan 150 pembentang terdiri daripada pakar arkeologi dan penyelidik dari Malaysia, Indonesia, Singapura serta Brunei.

“Pemilihan Melaka kerana ia signifikan dengan banyak jumpaan dan komitmen daripada Kerajaan Negeri Melaka selama ini untuk menaikkan martabat sejarah dan arkeologi.

“Hasil program ini sebenarnya kita dapat bawa peserta menyelami sejarah, seterusnya membuktikan bahawa Kesultanan Melayu Melaka itu pernah wujud berdasarkan artifak-artifak yang dijumpai,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Perasmian ASBAM-X di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.

Menurut Erne, keistimewaan penganjuran ASBAM-X turut diterjemahkan menerusi sesi lawatan peserta ke beberapa tapak arkeologi di sekitar Banda Hilir, termasuk kubu pertahanan bersejarah di Kota Melaka seperti Santiago Bastion, Bastion Henrica Luisa dan Bastion Victoria.

Katanya, pendekatan itu memberi peluang kepada peserta bukan sahaja mendengar pembentangan berkaitan sejarah, tetapi melihat sendiri tinggalan fizikal yang menjadi sebahagian daripada warisan sejarah Melaka.

“Melalui majlis ilmu seperti inilah akhirnya kita dapat mendidik kembali masyarakat agar lebih cakna tentang sejarah, bukan sekadar teori tetapi daripada bahan arkeologi secara sah mengenai satu-satu sejarah dan warisan,” katanya.

Dalam pada itu, Erne berkata, penganjuran ASBAM secara berterusan turut membuka ruang lebih luas kepada masyarakat dan penyelidik untuk memahami nilai setiap penemuan arkeologi dalam membina gambaran sejarah yang lebih lengkap.

Katanya, bidang arkeologi, konservasi dan pemuliharaan perlu bergerak seiring bagi memastikan khazanah sejarah bukan sahaja dikaji, malah terus dipelihara untuk generasi akan datang.

“Setiap penemuan mempunyai nilai tersendiri dan apabila digabungkan dengan catatan sejarah serta hasil kajian, ia dapat membantu kita memahami sejarah dengan lebih menyeluruh.

“Justeru, usaha sebegini penting supaya khazanah yang ada dapat terus dikaji, dipelihara dan disampaikan kepada generasi akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

609
Kongsi :
Previous post 2,500 BAKAT SENI BERSATU DI KLEBANG
Next post NEGERI MAJU, RAKYAT TERBELA – RAKYAT SERKAM PUJI KEPIMPINAN TOK RAUF