PERZIM BUKA PELUANG RAKYAT MASUK MUZIUM LUAR BANDAR PERCUMA 31 OGOS INI

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

BANDA HILIR 28 Ogos – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menyahut inisiatif Kerajaan Negeri menawarkan kemasukan percuma ke enam muzium di bawahnya sempena 31 Ogos ini kepada pengunjung dan pelancong.

Pengurus Besarnya, Erne Hamsah berkata, berbeza berbanding tahun sebelumnya, PERZIM menampilkan kelainan dengan mengetengahkan muzium-muzium di kawasan luar bandar untuk dilawati secara percuma tahun ini.

Katanya, antara lokasi di luar bandar adalah seperti Muzium Pertanian, Galeri Demang Abdul Ghani dan Muzium Sejarah dan Warisan Naning di daerah Jasin dan Alor Gajah.

“Itulah kelainannya kita bagi peluang pengunjung lawat muzium-muzium daerah, di samping beberapa muzium di bandar turut dibuka secara percuma macam Muzium Golf, Muzium Rakyat dan Muzium Belia.

“Pengunjung boleh datang secara ‘walk-in’ bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang pada 31 Ogos ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Erne, pihaknya sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Melaka di lokasi-lokasi berkenaan.

Tambahnya, kemudahan kemasukan percuma itu diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh orang ramai bagi mengenali dengan lebih dekat sejarah, warisan, budaya dan identiti Melaka yang bukan hanya tertumpu di kawasan bandar.

“Kita akan memberi layanan yang terbaik selain bersedia memberi informasi di setiap muzium-muzium tersebut kepada semua pengunjung nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

660
Kongsi :
Previous post WAKAF KESIHATAN: MAIM AJAK RAKYAT KUMPUL SAHAM PAHALA BERPANJANGAN