
10,000 UMAT ISLAM MERIAHKAN MELAKA BERSELAWAT
KLEBANG 30 Ogos – Lebih 10,000 umat Islam hadir menghidupkan Majlis Melaka Berselawat sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 di Dataran 1Malaysia, Klebang, malam tadi.
Himpunan menyaksikan jemaah daripada pelbagai lapisan usia memenuhi ruang yang disediakan seawal 6 petang, sebelum menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah sebelum mengikuti pengisian kerohanian yang disusun khas.
Suasana semakin meriah apabila bacaan Ratib Al-Attas dan Asmaul Husna dipimpin Habib Haikal Al Adyrus, diikuti selawat pembukaan oleh Ahbabu Syam yang menghidupkan suasana malam dengan alunan puji-pujian ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Kemuncak majlis menyaksikan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam kira-kira jam 9.15 malam yang disambut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin serta barisan kenamaan negeri.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Melaka Berselawat yang dipimpin Habib Syeikh Abdul Qadir Assegaf, sebelum jemaah mengikuti tausiah disampaikan Al Fadhil Tuan Guru Ustaz Muhammad Hatta Abd Rahim.
Keheningan malam di tepi pantai Klebang terus diserikan dengan Mahallul Qiyam, diikuti bacaan doa dan penyampaian Anugerah Maulidur Rasul 1448H.
Majlis turut diserikan dengan ucapan Ketua Menteri Melaka sebelum diteruskan dengan penyampaian cenderamata dan jamuan.
Acara keagamaan itu menjadi antara pengisian kerohanian sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri 2026, sekali gus menghimpunkan masyarakat dalam suasana penuh kesatuan, kecintaan kepada Rasulullah SAW.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

