INSAN SUMBANG BAKTI PERKASA SYIAR ISLAM TERIMA PENGIKTIRAFAN

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KLEBANG 30 Ogos – Tidak semua insan yang berjasa berada di pentas atau dikenali masyarakat, namun sumbangan mereka dalam memperkasa syiar Islam terus memberi manfaat.

Atas penghargaan terhadap khidmat bakti golongan itu, seramai enam individu menerima Anugerah Khas Maulidur Rasul pada Majlis Melaka Berselawat sempena Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2026 Peringkat Negeri Melaka di Dataran 1Malaysia Klebang, di sini, semalam.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pengiktirafan itu diberikan atas sumbangan dan khidmat bakti penerima dalam memperkasa syiar Islam di Melaka.

“Pengiktirafan ini diberikan kepada insan-insan yang mungkin tidak selalu berada di hadapan, tidak sentiasa mendapat perhatian dan tidak pernah meminta jasa mereka dikenang.

“Namun, bakti mereka dirasai, sumbangan mereka memberi manfaat dan kesannya terus hidup dalam masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, penghargaan itu diharap menjadi dorongan kepada lebih ramai rakyat Melaka untuk terus menyumbang kepada masyarakat mengikut ruang dan kemampuan masing-masing.

“Mudah-mudahan segala khidmat dan bakti yang dicurahkan menjadi amal jariah yang berpanjangan, sekali gus menjadi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Melaka untuk terus menyumbang mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

512
Kongsi :
Previous post MELAKA BERSELAWAT: MALAM PENUH KEBERKATAN, KEBERSAMAAN – AB RAUF
Next post FESTIVAL SUNGAI MELAKA BAKAL ‘GEGAR’ ALOR GAJAH