MELAKA TAMPIL KEISTIMEWAAN, KARNIVAL CIMIC PERTAMA LIBATKAN KAPAL TLDM

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KLEBANG 30 Ogos – Melaka mencipta kelainan dalam penganjuran Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) apabila edisi tahun ini bukan sahaja berlangsung pada skala lebih besar, malah buat pertama kalinya turut melibatkan kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keistimewaan Karnival CIMIC di Melaka berbanding beberapa penganjuran sebelum ini turut terserlah menerusi sokongan kuat Kerajaan Negeri Melaka terhadap program berkenaan.

Beliau berkata, kehadiran Ketua Menteri Melaka pada program itu menunjukkan pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain mencerminkan kefahaman tinggi mengenai kepentingan hubungan dan kerjasama antara masyarakat awam dengan pasukan pertahanan negara.

“Sememangnya CIMIC di Melaka ini sangat-sangat berbeza dan sangat-sangat istimewa berbanding dengan beberapa penganjuran Karnival CIMIC yang telah kita lakukan di beberapa tempat.

“Selain daripada sokongan yang ditunjukkan sendiri oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama, apa yang kita lakukan di Melaka ini adalah pada skala yang lebih besar daripada sebelum ini.

“Buat pertama kali juga, ia melibatkan kapal-kapal daripada Tentera Laut Diraja Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Kerjasama Awam-Tentera (Civil-Military Cooperation, CIMIC) Melaka Tahun 2026 yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran 1 Malaysia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Saleh; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata Karnival CIMIC bukan sekadar program mempamerkan aset tentera sebaliknya menjadi platform memperkukuh kerjasama antara ATM dan masyarakat dalam menghadapi ancaman keselamatan yang semakin rencam dan kompleks.

“Perkara ini menyebabkan cabaran atau skop pertahanan telah menjadi semakin mencapah dan juga luas, maka pendekatan dan strategi kita juga mesti berubah.

“Dan salah satu daripada perubahan serta pemantapan strategi tersebut adalah dengan melibatkan kerjasama serta penyertaan orang awam dengan lebih bermakna dan juga lebih berkesan dalam kita berhadapan dengan cabaran-cabaran baharu ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

992
Kongsi :
Previous post CIMIC DEKATKAN RAKYAT DENGAN ‘DUNIA’ PERTAHANAN