TAWARAN KEMASUKAN PERCUMA, TUNAIKAN IMPIAN ANAK NAIK MENARA TAMING SARI

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDA HILIR 1 September – Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 tahun ini memberi makna berbeza buat keluarga Mohammad Noor Hanafi Sham, apabila tawaran kemasukan percuma membolehkan mereka menikmati pengalaman menaiki Menara Taming Sari.

Mohammad Noor Hanafi, 35, dari Segamat, Johor berkata, hasrat untuk menaiki Menara Taming Sari sebelum ini pernah beberapa kali disuarakan anaknya tetapi terpaksa dilupakan kerana faktor kewangan.

Katanya, apabila mengetahui tentang kemasukan percuma ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Melaka dia mengambil peluang untuk datang bercuti ke Melaka, sekali gus menunaikan impian anaknya.

“Anak-anak sebelum ini memang ada mengajak saya dan isteri untuk naik Menara Taming Sari, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana kami kurang berkemampuan untuk menanggung kos tiket.

“Apabila mendapat tahu ada tawaran masuk percuma pada 31 Ogos saya terus mengambil peluang ini datang bersama isteri, tiga anak dan emak untuk menaiki Menara Taming Sari.

“Pengalaman menaiki Menara Taming Sari amat bermakna terutamanya untuk anak-anak, mereka amat teruja apabila dapat melihat pemandangan menarik dari atas,” katanya ketika ditemui di Menara Taming Sari, semalam.

Menurut bapa kepada tiga anak itu, peluang berkenaan bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada anak-anaknya tetapi membolehkan keluarganya meluangkan masa bersama tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar.

“Selepas Menara Taming Sari kami akan cuba menaiki Melaka River Cruise sebelum ke Zoo Melaka kerana ini permintaan anak-anak.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana menyediakan tawaran seperti ini kerana amat membantu, khususnya golongan B40 seperti kami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

237
Kongsi :
Previous post SEMPAT TENGOK BUNGA API SEBELUM LAHIRKAN ‘HERO’ MERDEKA