
LEBIH 13,000 SERBU TIGA PRODUK PELANCONGAN PPSPM PERCUMA
BANDA HILIR 31 Ogos – Seramai 13,074 pengunjung mengambil peluang menikmati tiga produk pelancongan utama di bawah Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) secara percuma sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-69, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, Melaka River Cruise mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi iaitu 11,428 orang, diikuti Eco Cruise Tasik Chinchin seramai 1,175 orang dan Eco Cruise Sungai Linggi dengan 471 pengunjung.
“Secara keseluruhan, kami merekodkan kehadiran seramai 13,074 pengunjung bagi tiga produk pelancongan utama PPSPM yang ditawarkan secara percuma sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
“Jumlah ini menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan, termasuk daripada pengunjung luar Melaka yang mengambil peluang menikmati sendiri pengalaman menaiki bot serta menerokai produk pelancongan berasaskan sungai dan alam semula jadi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya Shaharul Azuar, sambutan menggalakkan itu bukan sahaja memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan, malah mencerminkan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum yang bersama-sama menikmati aktiviti rekreasi dan pelancongan dalam suasana harmoni.
“Kehadiran pengunjung daripada pelbagai latar belakang bukan sahaja memeriahkan sambutan, malah menyemarakkan semangat perpaduan apabila aktiviti rekreasi dan pelancongan dapat dinikmati bersama.
“Tawaran kemasukan percuma ini juga menjadi satu bentuk promosi yang berkesan kerana pengunjung berpeluang merasai sendiri pengalaman menaiki bot, sekali gus mengenali produk pelancongan di bawah PPSPM,” katanya.
Shaharul Azuar berkata, pihaknya turut menggalakkan pengunjung mengikuti akaun media sosial rasmi produk pelancongan PPSPM bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan operasi, promosi dan aktiviti yang ditawarkan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kehadiran pengunjung yang tinggi turut memberi limpahan ekonomi kepada usahawan tempatan menerusi aktiviti jualan dan keusahawanan di lokasi produk pelancongan berkenaan.
“Secara tidak langsung, peningkatan jumlah pengunjung membantu mewujudkan limpahan ekonomi kepada peniaga dan usahawan tempatan yang menjalankan aktiviti perniagaan di sekitar lokasi tumpuan pelancong,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

