51,871 RAKYAT NIKMATI 14 PRODUK PELANCONGAN PERCUMA MELAKA SEMPENA 31 OGOS

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 1 September – Seramai 51,871 pengunjung mengambil kesempatan menikmati kemasukan percuma ke 14 produk pelancongan di Melaka sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026, pada Isnin.

Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, Zoo Melaka mencatat jumlah kemasukan tertinggi dengan 18,318 pengunjung, diikuti Melaka River Cruise seramai 11,428 orang.

Selain itu, Menara Taming Sari merekodkan 3,426 pengunjung, Muzium & Galeri Melaka (2,826), Kraftangan Melaka (4,723), Muzium Penjara Malaysia Melaka (4,350) dan Melaka Wonderland (2,600).

Turut menerima sambutan ialah Kompleks Air Panas Gadek dengan 1,400 pengunjung, Balai Cerap Al-Khawarizmi (880), Eco Cruise Tasik Chinchin (1,175), Eco Cruise Sungai Linggi (471), Tiara Golf & Country Club (150), Orna Golf Club (120) dan Ayer Keroh Country Club (empat).

Menurut kenyataan itu, tawaran kemasukan percuma berkenaan mendapat sambutan menggalakkan apabila orang ramai mengambil peluang memanfaatkan cuti umum dengan mengunjungi pelbagai destinasi pelancongan yang disediakan di seluruh negeri.

“Secara keseluruhan, seramai 51,871 pengunjung direkodkan menikmati kemasukan percuma ke 14 produk pelancongan negeri pada 31 Ogos 2026.

“Program merupakan satu hadiah daripada Kerajaan Negeri dengan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menikmati pelbagai tarikan pelancongan Melaka secara percuma bersama keluarga sempena sambutan Hari Kebangsaan,” kata kenyataan itu.

Menurut Bahagian Promosi Pelancongan, sambutan tersebut membuktikan kepelbagaian produk pelancongan Melaka terus menjadi pilihan orang ramai, selain memberi ruang kepada masyarakat mengenali tarikan, warisan dan rekreasi yang terdapat di negeri itu.

“Pelaksanaan kemasukan percuma ini turut mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam merancakkan sektor pelancongan serta memastikan rakyat dapat menikmati produk pelancongan tempatan dalam suasana sambutan Hari Kebangsaan,” tambah kenyataan tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

309
Kongsi :
Previous post 21 BERANAK CIPTA MEMORI HARI KEBANGSAAN DI ZOO MELAKA