WRUR TABOH NANING: ‘ACIK ZUL’ TURUN PADANG, SANTUNI 40 KELUARGA

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

TABOH NANING 1 September – Pendekatan turun padang menerusi Program Ziarah Kasih sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning membuka ruang lebih dekat kepada wakil rakyat dan agensi kerajaan untuk mengenal pasti keperluan golongan yang memerlukan.

Menerusi program itu, sebanyak 40 keluarga memerlukan disantuni dengan kunjungan ke kediaman masing-masing bagi melihat sendiri keadaan mereka selain menilai bentuk bantuan yang bersesuaian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, pendekatan bersemuka itu penting bagi memastikan golongan yang memerlukan tidak tercicir daripada menerima bantuan disediakan Kerajaan Negeri.

“Walaupun di peringkat DUN kita sering menziarahi mereka, tetapi melalui Program WRUR kita berkesempatan mendekati golongan memerlukan ini dengan lebih dekat bersama pelbagai agensi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih sempena WRUR DUN Taboh Naning di Kampung Padang Melekek Luar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka Halyjah Muhamad.

Zulkiflee yang juga Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana berkata, kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) amat penting dalam mengenal pasti keluarga yang memerlukan perhatian dan bantuan.

Katanya, setiap laporan baharu akan diteliti dengan membawa agensi berkaitan seperti JKM dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi menilai keadaan serta kelayakan penerima.

“Kalau ada laporan baharu, saya lebih suka untuk menziarahi mereka dan membawa agensi-agensi yang terlibat bagi memastikan mereka ini layak menerima bantuan am yang disediakan Kerajaan Negeri,” katanya.

Menurutnya, antara bantuan yang disalurkan menerusi program berkenaan termasuk kit makanan dan bantuan am JKM, selain pertambahan jumlah elaun bulanan bagi penerima yang layak.

Beliau berkata, pendekatan bersepadu menerusi WRUR membolehkan permasalahan rakyat dikenal pasti dengan lebih cepat sebelum tindakan susulan diambil oleh agensi berkaitan.

“Alhamdulillah, inilah rezeki mereka dan usaha Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mewujudkan Program WRUR,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

263
Kongsi :
Previous post DARI LADANG KE MUZIUM, BAPA KONGSI ILMU PERTANIAN