WRUR TABOH NANING: KLINIK KESIHATAN BAHARU SIMPANG AMPAT PERLU DIREALISASIKAN SEGERA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TABOH NANING 2 September – Pembinaan Klinik Kesihatan Simpang Ampat yang baharu antara keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Katanya, kesungguhan merealisasikan perancangan itu didorong kemahuan dalam dirinya untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan lebih selesa dan berkualiti kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning.

Zulkiflee yang juga Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, meskipun sudah berusia lebih lima abad keadaan bangunan klinik berkenaan tidak terlalu daif, namun ruang dalamannya agak sempit.

“Bagi saya usaha menyediakan kemudahan kesihatan baharu perlu dilaksanakan bermula dari sekarang, ruang dalam bangunan sedia ada dikhuatiri tidak dapat menampung pertambahan pesakit pada masa akan datang.

“Kami memahami proses kelulusan mengambil masa, namun amat berharap projek ini dapat dilaksanakan sebaik sahaja peruntukan disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Klinik Kesihatan Simpang Ampat bersama Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, semalam.

Mewakili penduduk DUN Taboh Naning, Zulkiflee menyambut baik tindakan segera daripada Hee Sem yang meminta Unit Pembangunan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka untuk melihat keperluan penambahan blok di klinik berkenaan.

“Penambahan blok itu dicadangkan bagi menyediakan penempatan lebih selesa untuk doktor, jururawat dan pesakit selain menambah ruang pemeriksaan pergigian yang kini hanya mempunyai satu bilik sahaja.

“Apabila ada blok tambahan ini, ia akan memberi lebih keselesaan kepada pesakit kerana ruang menunggu juga boleh diperluaskan berbanding sebelum ini dan membantu kelancaran operasi perkhidmatan.

“Untuk itu kita berharap Unit Pembangunan dapat membuat kajian dan penilaian menyeluruh supaya perkara ini boleh dibawa untuk mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Jelasnya, usaha menaik taraf kemudahan sedia ada dan pembinaan klinik baharu itu diharap dapat diberi perhatian sewajarnya demi memastikan penduduk Taboh Naning memperoleh akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, selesa dan berkualiti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

510
Kongsi :
Previous post WRUR TABOH NANING: PROSES ‘TAGGING’ JADIKAN SISTEM PENGURUSAN TERNAKAN MELAKA LEBIH TERATUR
Next post 15 TAHUN TIDAK JEJAK ZOO MELAKA, IBU BAWA ENAM ANAK GAMIT KENANGAN LALU