
MELAKA MEMANG LAIN MACAM, RAKYAT TERKEJUT KETUA MENTERI SENDIRI HANTAR MAKANAN
TANJUNG BIDARA 1 September – Tidak pernah terlintas di fikiran Muhamad Redza Sidek, 32, bahawa pesanan makanan yang dibuat menerusi aplikasi dalam talian akan dihantar sendiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, sekali gus menjadi pengalaman yang dianggapnya sebagai rezeki dan kenangan tidak ternilai.
Peniaga ikan yang sudah lebih 20 tahun menetap di Masjid Tanah itu berkata, pada awalnya dia terpinga-pinga apabila melihat individu yang menghantar pesanannya kerana langsung tidak mengetahui Ketua Menteri sendiri berada di sebalik penghantaran berkenaan.
“Tadi memang terkejut sebab tidak tahu pun dia yang hantar. Mula-mula macam blur, tertanya-tanya siapa pula yang datang. Tak sangka pula Ketua Menteri yang hantar makanan.
“Di Melaka memang lain macam sedikit. Ketua Menteri boleh datang sendiri jumpa rakyat dan hantar makanan seperti ini memang saya bangga dan terharu,” katanya ketika ditemui selepas menerima pesanan makanan berkenaan, hari ini.
Menurut Muhamad Redza, Ab Rauf disifatkan sebagai seorang pemimpin yang mesra dan dekat dengan golongan muda, termasuk kesediaannya melayan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Pada saya beliau seorang yang ‘humble’ dan memang menjiwai pemuda-pemuda Melaka. Beliau layan semua, termasuk aktiviti anak muda dan permotoran.
“Pendekatan seperti ini menjadikan hubungan antara pemimpin dan rakyat lebih dekat kerana masyarakat dapat bertemu serta berinteraksi secara santai tanpa protokol yang panjang,” katanya.

Sementara itu, Rohani Zainal, 66, dari Kampung Pengkalan Balak turut terkejut apabila mendapati makanan yang dipesan anaknya dihantar sendiri oleh Ketua Menteri.
Dia yang bekerja sebagai pencuci secara sambilan tidak menyangka kunjungan berkenaan akan berlaku dan menyifatkannya sebagai satu rezeki yang tidak diduga.
“Iyalah, terkejut Ketua Menteri datang. Anak yang pesan makanan dan tiba-tiba Tok Rauf sendiri yang datang hantar. Siapa sangka Ketua Menteri sendiri datang ke rumah.
“Bagi saya ini satu perkara yang berbeza daripada sebelum ini. Ini satu penambahbaikan yang baik dan saya suka pendekatan seperti ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

