PIT STOP MASJID TANAH JADI PORT REHAT ‘ABANG RIDER’

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

LENDU 2 September – Selepas berjam-jam mengharungi panas dan hujan di jalan raya demi menghantar pesanan pelanggan, ‘Abang Rider’ di Masjid Tanah kini mempunyai tempat untuk berhenti seketika apabila Pit Stop Masjid Tanah disediakan sebagai ruang rehat khas buat mereka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kemudahan yang disediakan di Masjid Tanah Sentral itu merupakan antara usaha Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada kebajikan serta keselesaan penghantar p-hailing yang menjadi sebahagian penting dalam ekosistem ekonomi digital.

“Di Masjid Tanah ini, kita telah sediakan tempat rehat p-hailing di Masjid Tanah Sentral dan saya juga akan memberikan bantuan kepada tempat rehat ini bagi memberi keselesaan kepada abang rider.

“Mungkin kita boleh letakkan kipas dan sebagainya. Ini tanda penghargaan kepada mereka yang mencari rezeki dalam industri p-hailing ini,” katanya kepada pemberita selepas menyelami denyut nadi kehidupan golongan p-hailing di sekitar Masjid Tanah, pada Selasa.

Beliau berkata, kemudahan itu bukan sekadar menyediakan ruang untuk rider berteduh atau berehat ketika menunggu pesanan, malah menjadi tanda bahawa usaha serta pengorbanan mereka dalam mencari rezeki turut mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

“Kadang-kadang mereka menunggu pesanan, jadi kita mahu mereka mempunyai tempat yang selesa untuk berhenti seketika sebelum meneruskan perjalanan. Kita mahu mereka rasa bahawa mereka dihargai dan kebajikan mereka turut diberi perhatian,” katanya.

Ab Rauf berkata, penyediaan kemudahan berkenaan turut melengkapkan beberapa inisiatif lain yang sedang dirangka Kerajaan Negeri untuk membantu golongan p-hailing, termasuk subsidi penyelenggaraan motosikal yang bakal memberi manfaat kepada lebih 3,000 penghantar di seluruh Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

261
Kongsi :
Previous post MELAKA SASAR PROSES ‘TAGGING’ LIBATKAN 32,000 TERNAKAN HINGGA HUJUNG TAHUN INI