
HARI KEBANGSAAN: PARAKOM MELAKA KENDALI 60 KES KECEMASAN DI KLEBANG
KLEBANG 3 September – Sebanyak 60 kes kecemasan dikendalikan Paramedik Komuniti (PARAKOM) Melaka sepanjang Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung di Klebang dari 29 hingga 31 Ogos lalu.
Ketua Perkhidmatan Pra Hospital dan Ambulans Hotspot St John Ambulans Malaysia (SJAM) Saiful Nizam Sairi berkata, antara kes yang diterima adalah seperti pitam, kecederaan dan luka ringan, terseliuh serta mengalami kelesuan.
“Alhamdulillah, kesemua kes dapat dikendalikan dengan baik menerusi respons dan rawatan yang diberikan PARAKOM bersama petugas kesihatan yang terlibat.
“Syabas dan tahniah kepada seluruh pasukan yang memastikan aspek perubatan dan kecemasan sepanjang sambutan berjalan lancar serta teratur,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut beliau, penugasan pasukan kesihatan itu penting bagi memastikan tindakan segera dapat diberikan kepada pengunjung sekiranya berlaku sebarang kecemasan, khususnya ketika jumlah pengunjung meningkat sepanjang sambutan.
Saiful Nizam berkata, operasi kesihatan berkenaan turut membabitkan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), St John Ambulans Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Melaka menerusi penyediaan kemudahan ambulans.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan aspek kesihatan dan keselamatan pengunjung sentiasa diberi keutamaan sepanjang sambutan.
“Kerjasama, komitmen dan semangat berpasukan daripada semua pihak amat dihargai dalam memastikan sebarang kes kecemasan dapat ditangani dengan segera,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


