
RAKYAT SUSAH TIDAK DILUPAKAN, TABOH NANING RASAI KASIH SAYANG TOK RAUF
TABOH NANING 3 September – Kebajikan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning terus diberi perhatian apabila Kerajaan Negeri menyalurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk baik pulih dan pembinaan rumah baharu bagi memastikan golongan memerlukan dapat menikmati kediaman lebih selesa dan selamat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, aspek kediaman rakyat menjadi antara keutamaan dalam pelaksanaan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada perhatian kerajaan.
Menurut beliau, menerusi jelajah berkenaan, Hamid Tambi dari Kampung Sungai Buloh telah menerima peruntukan RM20,000 bagi kerja baik pulih rumah, manakala Abu Bakar Tahar dari Kampung Melekek menerima sebuah rumah baharu bernilai RM70,000.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Lembaga Perumahan Melaka yang terus membantu kerajaan negeri memastikan rakyat dapat mendiami rumah yang lebih selesa dan selamat.
“Selain itu, sebanyak 13 keluarga di DUN Taboh Naning turut menerima manfaat baik pulih rumah dengan peruntukan keseluruhan RM65,000 hasil sumbangan Adun Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ramah MeSRa Ketua Menteri Melaka Bersama Masyarakat Kampung Orang Asli Bukit Payung sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Taboh Naning, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Turut bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut menghargai jasa warga Sang Saka Biru yang sentiasa memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat.
Sehubungan itu, katanya, sebanyak RM3,000 disalurkan kepada Balai Polis Simpang Empat sebagai tanda penghargaan terhadap khidmat serta komitmen anggota keselamatan.
Pada masa sama, sebanyak 500 kampit beras diagihkan secara percuma kepada warga Taboh Naning, manakala 35 keluarga menerima kit makanan bernilai keseluruhan RM3,500.
“Ini adalah pendekatan kita dalam menyantuni rakyat. Kita mahu bantuan yang diberikan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan dan memberi manfaat kepada kehidupan seharian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


