
TOK RAUF HADIAHKAN 20 ‘RIDER’ OKU HELMET EDISI TERHAD
AYER KEROH 4 September – Seramai 20 orang kurang upaya (OKU) yang mencari rezeki sebagai penghantar makanan di negeri ini menerima hadiah istimewa daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berupa sebuah topi keledar eksklusif.
Ab Rauf berkata, pemberian berkenaan merupakan sebahagian daripada keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan komuniti p-hailing, termasuk golongan OKU yang turut aktif mencari rezeki sebagai penghantar makanan.
“Rider OKU ini saya hadiahkan mereka sebuah helmet eksklusif edisi terhad yang dibuat khas untuk Karnival Anak Muda Negeri Melaka ini.
“Walaupun, helmet itu disediakan untuk cabutan bertuah, namun untuk ‘rider’ OKU ini saya berikan secara khas sebagai satu bentuk hadiah bagi menghargai mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluncurkan Majlis Perasmian Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Penyelaras Karnival Anak Muda Negeri Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM300,000 untuk disalurkan kepada 3,000 warga P-Hailing yang hadir pada karnival berkenaan dengan masing-masing menerima RM100 sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka menggerakkan ekonomi digital negeri.
“Selain itu, sebanyak 10 buah motosikal turut disediakan untuk dimenangi warga p-hailing menerusi cabutan bertuah sempena karnival ini,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


