MELAKA MAHU SEDIA PELUANG IBU MUDA KEMBALI BEKERJA

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 5 September – Melaka sedang mengkaji lokasi dan syarikat berpotensi untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada ibu muda yang berdepan masalah kehidupan rumah tangga atau mahu kembali bekerja selepas berehat daripada kerjaya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara lokasi yang sedang dipertimbangkan ialah Melaka Inland Port atau Pelabuhan Darat Melaka di Mukim Taboh Naning yang berpotensi menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan berkenaan, sekali gus membantu mereka membina semula kehidupan dan masa depan.

Menurut beliau, pendekatan itu akan diteliti berdasarkan model yang dilaksanakan di Tanjung Pelepas, Johor, yang memberi peluang kepada ibu muda yang berdepan masalah kehidupan untuk kembali bekerja.

“Kita lihat kaedah yang dibuat di Tanjung Pelepas yang memberi peluang kepada ibu muda yang hilang masa depan untuk bekerja di situ. Kita akan tengok bagaimana kaedah ini boleh dibuat di Melaka.

“Kita akan cuba menjadikan Melaka Inland Port sebagai lokasi untuk ibu-ibu muda ini kembali membina kehidupan,” katanya kepada pemberita selepas sesi Townhall Anak Muda Negeri Melaka sempena Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Penyelaras Karnival Anak Muda Negeri Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, usaha berkenaan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri memastikan tiada jurang generasi atau jantina dalam akses kepada peluang pekerjaan, sebaliknya setiap individu diberi ruang berdasarkan kemahiran dan keupayaan masing-masing.

“Di Melaka kita tidak ada generation gap atau gender problem. Semua diberi ruang yang sama berdasarkan kemahiran dan keupayaan mereka sendiri.

“Namun, segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan akan kita perhalusi dan teliti supaya dapat membina Melaka yang lebih gemilang,” katanya.

Terdahulu, Ab Rauf meluangkan masa kira-kira satu jam pada sesi Townhall Bersama Anak Muda dengan berkongsi visi dan aspirasi beliau, selain turut menjawab pelbagai pertanyaan yang dikemukakan anak muda pada program tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

472
Kongsi :
Previous post MELAKA MAHU JADI NEGERI PERTAMA CADANG GAJI ASAS LUMAYAN
Next post MELAKA AKAN PASTIKAN ‘ADA PINGGAN UNTUK RAKYAT MAKAN’