MELAKA AKAN PASTIKAN ‘ADA PINGGAN UNTUK RAKYAT MAKAN’

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER KEROH 5 September – Kerajaan Negeri mahu memastikan setiap rakyat mempunyai pekerjaan dan sumber pendapatan bagi menjamin kehidupan lebih baik, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, penyediaan peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat merupakan antara tanggungjawab utama kerajaan dalam memastikan manfaat pembangunan ekonomi dapat dirasai seluruh masyarakat.

“Tanggungjawab sebagai kerajaan, kita kena pastikan di rumah ada pinggan untuk beri makanan kepada rakyat. Beri rakyat hidup lebih baik melalui dasar yang dibawa oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Townhall Bersama Anak Muda sempena Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Penyelaras Karnival Anak Muda Negeri Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, usaha memastikan lebih banyak pekerjaan tersedia dilaksanakan menerusi pengukuhan sektor perindustrian dan usaha menarik pelaburan baharu ke Melaka.

Katanya, Melaka kini mempunyai 24 kawasan perindustrian dengan jumlah penduduk kira-kira 1.05 juta orang, manakala sekitar 35 peratus atau kira-kira 350,000 penduduk berada dalam kumpulan yang bekerja sama ada di sektor awam atau swasta.

“Jadi tanggungjawab saya ialah bagaimana hendak meningkatkan 35 peratus yang bekerja itu kepada 40 peratus.

“Apa yang saya buat adalah mencipta peluang pekerjaan dan menarik pelabur masuk ke Melaka. Menyediakan bekalan tenaga kerja kepada pelaburan ini juga tanggungjawab kerajaan,” katanya.

Ab Rauf berkata, landskap industri Melaka turut disokong dengan 67 kolej Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), sekali gus menyediakan sumber tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri.

Beliau berkata, kekuatan ekosistem pendidikan dan latihan itu penting bagi memastikan pelaburan yang dibawa masuk ke Melaka turut membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Kalau saya bawa misi pelaburan, saya bawa untuk anda. Kalau kata peluang pekerjaan, ia terbuka untuk anda berkarya dan memilih. Kerja-kerja teknikal ini peluangnya cukup banyak di Melaka,” katanya.

Ab Rauf berkata, kadar pengangguran di Melaka juga berada pada paras lebih rendah berbanding peringkat nasional, menunjukkan peluang pekerjaan di negeri ini terus berkembang seiring pertumbuhan sektor perindustrian dan pelaburan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

662
Kongsi :
Previous post MELAKA MAHU SEDIA PELUANG IBU MUDA KEMBALI BEKERJA
Next post ANAK MELAKA PERLU BANGGA, NEGERI INI LAIN DARIPADA YANG LAIN