DI MELAKA, KERAJAAN TURUN CARI RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

SUNGAI UDANG 7 September – Kerajaan Negeri tidak mahu rakyat datang mencari kerajaan, sebaliknya pentadbiran negeri perlu turun padang mencari rakyat bagi memahami sendiri denyut nadi serta permasalahan yang dihadapi mereka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan turun padang itu perlu terus dibudayakan bagi memastikan perkhidmatan kerajaan benar-benar dekat dengan kehidupan masyarakat.

“Bagi saya, inilah pendekatan pentadbiran yang mesti kita terus budayakan. Kita tidak mahu rakyat sentiasa perlu datang mencari kerajaan, sebaliknya kerajaanlah yang mesti turun mencari rakyat.

“Sebab itu kita bawa jabatan dan agensi keluar daripada pejabat. Kita bawa perkhidmatan lebih dekat ke kampung dan komuniti,” katanya ketika berucap pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Majlis Penutup Karnival Sungai Udang Kampung Kita di Taman Desa Bertam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat serta kenamaan lain.

Ketua Menteri berkata, pendekatan itu turut membuka ruang kepada rakyat untuk mendapatkan bantuan, mengemukakan aduan dan menyelesaikan pelbagai urusan dengan lebih mudah tanpa perlu menunggu mereka datang ke pejabat kerajaan.

Katanya, di Sungai Udang, usaha mendekati rakyat tidak terhenti menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang kini memasuki siri ke-18, malah ia turut diwarnai dengan Karnival Sungai Udang Kampung Kita.

Jelas beliau, karnival yang berlangsung selama enam hari itu membabitkan pengisian hampir 50 program merangkumi kebajikan, kemasyarakatan, pendidikan, keagamaan, kesukanan anak muda serta pelbagai perkhidmatan yang menyentuh keperluan rakyat.

Menurutnya, semakin banyak kawasan disantuni, semakin banyak wajah kehidupan rakyat ditemui termasuk golongan nelayan, peniaga kecil, warga emas dan keluarga yang berdepan kediaman uzur.

“Ceritanya mungkin berbeza dari satu tempat ke satu tempat, tetapi semuanya mengajar saya perkara yang sama. Rakyat hanya mahu suara mereka didengar, kesusahan mereka difahami dan apabila ada ruang untuk dibantu, Kerajaan hadir mencari jalan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

336
Kongsi :
Previous post ‘HARI JADI’ MELAKA? TUNGGU DUA KALI JUMAAT..
Next post 9,000 UMAT ISLAM SEKITAR SERI BERTAM BAKAL TERIMA MASJID BAHARU TAHUN HADAPAN