
MAIM SASAR LEBIH RAMAI BELIA SERTAI BSAT
AYER KEROH 9 September – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyasarkan lebih ramai golongan belia dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menyertai Badan Sukarelawan Al-Taqwa (BSAT) bagi memperkukuh gerakan kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.
Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata tenaga, idea dan kemahiran generasi muda amat diperlukan bagi melengkapkan kekuatan sukarelawan BSAT yang turut disertai golongan lebih berusia.
“Apabila kedua-dua generasi ini dapat berganding bahu, BSAT akan menjadi sebuah pasukan yang lebih seimbang, dinamik dan berdaya tahan.
“MAIM sentiasa mengalu-alukan penyertaan masyarakat dalam BSAT kerana tenaga kerja sedia ada adalah terhad bagi melaksanakan pelbagai program bersama komuniti.
“Jadi kita melibatkan masyarakat melalui program kesukarelawanan ini bagi memberi ruang kepada pihak yang berminat untuk bersama-sama menjalankan program secara sukarela,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, golongan belia turut mempunyai ruang untuk menyumbang menerusi pelbagai aktiviti BSAT termasuk membantu menyantuni pesakit di hospital, antaranya memberikan panduan berkaitan ibadah ketika berada dalam keadaan sakit.
“MAIM turut mempunyai kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi membuka peluang penglibatan belia dalam gerakan kesukarelawanan ini.
“Sebahagian daripada program kita memang ada penglibatan golongan muda, termasuk dalam kalangan anak asnaf yang pernah menerima bantuan MAIM ketika melanjutkan pengajian di IPT.
“Alhamdulillah, selepas mereka dibantu, ada antara mereka yang kembali menyumbang tenaga sebagai sukarelawan. Itu antara perkara yang kita lihat sebagai perkembangan positif,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


