
RUMAH PUSAKA SEMAKIN UZUR, YAACOB SYUKURI NIKMAT KEDIAMAN BAHARU
SUNGAI UDANG 8 September – Ada rasa gembira yang sukar disembunyikan, namun ada juga sebak yang terpaksa ditelan.
Begitulah perasaan Yaakob Ismail, 69, ketika menerima rumah baharu yang lebih selesa selepas kediaman lamanya yang diwarisi daripada ibu bapanya kini semakin uzur dan tidak lagi selamat untuk didiami.
Rumah kampung itu bukan sekadar tempat berteduh malah menjadi tempat Yaakob dilahirkan, membesar dan menyimpan seribu satu kenangan sejak kecil.
Meskipun berat meninggalkan rumah yang begitu dekat dengan hidupnya, Yaakob yang merupakan seorang duda tanpa anak bersyukur dapat menghuni kediaman lebih selesa di usia senja selepas dipilih sebagai penerima bantuan Program Melaka Rumahku menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM).
Menurut Yaakob, keadaan rumah lama yang semakin uzur dan tidak lagi selesa didiami mendapat perhatian Japerun Sungai Udang dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
“Mereka kata, pakcik rumah tidak boleh ‘repair’ kena buat rumah baharu, jadi melalui LPM, alhamdulillah dapatlah dibuat rumah baharu macam ini,” katanya.
“Sekejap sahaja rumah siap dalam satu dua bulan,” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena Program Jelajah Ketua Menteri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di kediamannya di Kampung Paya Rumput Jaya di sini, pada Isnin.
Bagi Yaakob, kediaman baharu itu bukan sekadar menggantikan rumah lama yang sudah uzur, malah memberikan keselesaan yang amat bermakna untuk meneruskan kehidupan di usia senja.
“Sekarang saya sudah rasa lebih senang dan selesa. Ada satu bilik lagi yang boleh digunakan untuk saya buat cuci darah. Alhamdulillah, semuanya sudah ada,” katanya.
Dalam pada itu, Yaakob menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Melaka, khususnya Ketua Menteri atas keprihatinan menyalurkan bantuan tambahan berjumlah RM1,000 bagi membolehkan dirinya membeli peti ais dan televisyen baharu.
“Terima kasih kepada Kerajaan Melaka, lebih-lebih lagi Ketua Menteri kerana membantu buatkan rumah untuk rakyat. Kita doakan beliau sihat dan dimurahkan rezeki supaya dapat terus membantu rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


