WRUR AYER LIMAU: RUMAH DAIF PESAKIT ANGIN AHMAR DAPAT PERHATIAN MPAG

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER LIMAU 10 September – Keadaan rumah seorang pesakit angin ahmar yang uzur mendapat perhatian Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) apabila tampil mengulurkan bantuan menerusi Program Masyarakat Di Hati MPAG 2026 bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau.

Selain rumah yang uzur dengan bahagian bumbung bocor, sistem pendawaian elektrik menjadi tempat Normah Ismail, 59, berteduh juga sudah tidak selamat dan kerap berlaku litar pintas.

Anaknya Nur Farain Setheek, 35, berkata ibunya terpaksa tinggal dalam keadaan tidak selesa terutama setiap kali hujan sejak tiga tahun lalu selepas mereka berpindah ke rumah berkenaan yang sebelum ini dihuni arwah ibu saudaranya.

“Alhamdulillah, meskipun baru sekali hantar borang, permohonan kami diluluskan, mengikut perancangan MPAG akan menggangtikan sistem pendawaian elektrik yang lama. Saya amat bersyukur dan lega kerana ada suis yang sudah tidak boleh digunakan, jika ‘on’ sahaja seluruh rumah akan terputus bekalan elektrik.

“Saya juga dimaklumkan akan ada usaha untuk membaiki bahagian bumbung rumah kerana bukan sahaja bocor malah ada bahagian yang sudah roboh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Telok Berembang, di sini, pada Isnin.

Terdahulu program itu turut dihadiri Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Exco Kerja Raya, Insfrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Setiausaha MPAG Radzyma Mahat.

Nur Farain amat memuji inisiatif WRUR kerana penyelesaian dan tindakan daripada pihak berkenaan amat pantas, selain meringakan beban golongan kurang berkemampuan.

Menurutnya, sebelum ini dia bersama adiknya Mohd Firdaus Setheek, 30, ada bercadang untuk membaiki kediaman berkenaan namun terbantut akibat kekangan kewangan.

“Saya suri rumah sepenuh masa mengharapkan pendapatan bulanan daripada suami, adik pula bekerja di sebuah bengkel di Melaka Tengah dengan gaji hari, masing-masing ada tanggungan anak. Jadi perancangan untuk baiki rumah kerap tertangguh.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan semua pihak yang membantu kami khususnya ibu menghuni kediaman yang lebih selesa dan selamat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

836
Kongsi :
Previous post MINAT BERTANI BAWA β€˜MAMA’ KE KURSUS BAJA ORGANIK
Next post ANAK JATI MELAKA BAWA SUKAN TAEKWANDO BERSINAR DI BATAM