MINAT BERTANI BAWA ‘MAMA’ KE KURSUS BAJA ORGANIK

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER LIMAU 10 September – Hobi bercucuk tanam di kebun kecil berhampiran rumah bukan sekadar mengisi masa lapang buat Jamilah Mohamed Ibrahim, 64, malah membolehkannya menikmati hasil tanaman sendiri selain berkongsi rezeki dengan jiran sekeliling.

Selesa dipanggil ‘mama’, Jamilah berkata minat terhadap pertanian dipupuk sejak kira-kira dua tahun lalu selepas tidak lagi bekerja.

“Dulu mama bekerja, kerja kilang sahaja. Bila suami sudah meninggal, mama isi masa dengan dengan bercucuk tanam. Usaha kecilnya itu dimulakan dengan menanam cili, kelapa, belimbing, serai, daun pandan, daun kari dan daun limau purut yang menjadi bahan asas dalam penyediaan masakan Melayu.

“Jiran-jiran selalu tanya bagaimana tanam pokok dan mereka akan minta benih untuk tanam sendiri jika ada.

“Kebanyakan tanaman yang diusahakan digunakan untuk keperluan harian keluarga, jadi mama boleh kurangkan kebergantungan untuk membeli bahan masakan di pasaran,” katanya.

Jamilah berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas menghadiri Kursus Pertanian Bandar Pembuatan Baja Organik FPJ, FFJ dan FAA sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Dewan Tan Sri (Dr) Abu Seman, di sini, semalam.

Kursus berkenaan telah disempurnakan oleh Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Jamilah berkata, penyertaannya dalam kursus pertanian bandar itu pula didorong minat mendalam terhadap bidang berkenaan.

“Tanah luas memang tiada, cuma kawasan rumah mama ada lebihan di tepi digunakan dan dimanfaatkan.

“Banyak yang mama tidak tahu sebenarnya, terus tanam sahaja, tetapi bila ada kursus ini, kita dapat sukatan, dapat ilmu dan lebih semangat lagi lepas ini untuk bercucuk tanam,” katanya.

Seorang lagi peserta, Ariffin Othman, 65, dari Kampung Sungai Jernih berkata, kursus itu memberinya pengalaman baharu menghasilkan baja organik sendiri walaupun sudah lama mengusahakan tanaman termasuk durian, kelapa, rambutan dan dokong.

“Walaupun kita sudah tahu, kita belajar lagi. Kursus seperti ini memang bagus dan memberi manfaat kepada petani. Jadi lepas pencen pun kita tidak bosan kerana boleh terus bercucuk tanam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

573
Kongsi :
Previous post MASJID BAHARU BAKAL PERMUDAH URUSAN IBADAH PENDUDUK BERTAM