
MASJID BAHARU BAKAL PERMUDAH URUSAN IBADAH PENDUDUK BERTAM
PAYA RUMPUT 10 September – Pembinaan masjid kariah baharu di Taman Desa Bertam membawa khabar gembira buat penduduk setempat apabila kemudahan itu bakal memendekkan jarak perjalanan serta memberi lebih keselesaan untuk menunaikan ibadah di kawasan sendiri.
Bagi Yusoff Ismail, 70, pembinaan masjid berkenaan ibarat satu penantian yang akhirnya terjawab selepas sekian lama terpaksa ke Masjid Bertam Ulu bagi menunaikan solat Jumaat.
“Selama ini saya terpaksa solat Jumaat di Masjid Bertam Ulu, sejauh 10 kilometer (km) dari rumah saya.
“Jadi, saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memahami masalah masyarakat Islam di kawasan ini yang memerlukan kemudahan masjid,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Sungai Udang Kampung Kita dan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid Kariah Seri Bertam, pada Isnin.

Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin.

Sementara itu seorang lagi anak kariah, Che Kah Awang, 65, berkata, ketiadaan masjid sebelum ini menyebabkan dia terpaksa menunaikan solat Jumaat di pekan Sungai Udang yang terletak hampir 10 km dari taman berkenaan.
Katanya, walaupun surau tersedia di kawasan perumahan bagi solat fardu yang lain, penduduk masih perlu keluar dari kawasan mereka untuk menunaikan solat Jumaat.
“Kalau solat fardu lain memang ada surau-surau di sini tetapi untuk solat Jumaat kena pergi ke kawasan lain yang jauh,” jelasnya.

Manakala peniaga, Saiful Azmi Samsudin, 34, masjid baharu itu memberi kemudahan yang selesa kepada penduduk setempat termasuk dirinya untuk menunaikan solat berjemaah.
Katanya, kedudukan masjid yang terletak betul-betul di hadapan rumahnya memberi kelebihan untuk dia menunaikan solat Jumaat lebih mudah dan selesa.
“Kalau siap nanti saya rasa bertuah sebab masjid itu betul-betul berada di depan rumah saya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

