HADIAH LUMAYAN UNTUK PEMINJAM TAPEM KONSISTEN LUNAS PINJAMAN

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER LIMAU 10 September – Peminjam Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) yang konsisten melunaskan bayaran pinjaman berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah menerusi cabutan bertuah yang disediakan agensi berkenaan.

Pengurus Besar TAPEM, Abdul Aziz Baba berkata, sebanyak 19 hadiah disediakan bagi cabutan bertuah bagi insentif bayaran balik pinjaman tahun 2025 termasuk barangan elektrik, dengan hadiah utama berupa sebuah motosikal.

Katanya, hadiah berkenaan diberikan sebagai galakan kepada peminjam supaya terus konsisten membuat bayaran sekali gus membantu mengurangkan jumlah pinjaman tertunggak TAPEM.

“Hadiah cabutan bertuah ini kita bagi kepada peminjam-peminjam TAPEM yang membayar pinjaman secara konsisten.

“Dengan motivasi yang kita beri kepada peminjam ini, kita harap pinjaman tertunggak TAPEM dapat kita kurangkan dan akhirnya semua pinjaman dapat diselesaikan, insya-Allah,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menyampaikan hadiah kepada peminjam konsisten pada Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita DUN Ayer Limau di Padang Awam Taman Datuk Setia, di sini, pada Ahad.

Abdul Aziz berkata, hadiah utama cabutan bertuah bagi tahun 2025 berupa motosikal itu akan disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara.

Beliau berkata, TAPEM turut meneruskan inisiatif berkenaan bagi tahun 2026 dengan jumlah hadiah yang dijangka ditambah bergantung kepada prestasi bayaran balik peminjam.

“Untuk tahun 2026, lebih kurang sama, tetapi mungkin kita tambah lebih banyak hadiah, bergantung kepada bayaran yang dibuat oleh peminjam-peminjam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, inisiatif berkenaan antara langkah yang diambil TAPEM bagi meningkatkan kadar bayaran balik pinjaman pendidikan yang sebelum ini mencecah kira-kira RM40 juta.

“Alhamdulillah, inisiatif yang dilakukan ini berjaya mengurangkan nilai tunggakan kepada sekitar RM38 juta dan kita sasarkan setiap tahun berjaya mengutip sekitar RM8 hingga 9 juta baki tunggakan pinjaman pendidikan,” katanya.

Abdul Aziz berkata, usaha meningkatkan bayaran balik itu penting bagi memastikan dana pinjaman pendidikan TAPEM dapat terus membantu generasi baharu Melaka mendapatkan peluang pendidikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

369
Kongsi :
Previous post ‘TOK RAUF MASIH KENAL AYAH’