
‘TOK RAUF MASIH KENAL AYAH’
AYER LIMAU 10 September – Perbualan ringkas mengenai bapanya yang pernah berkhidmat di jabatan kesihatan bertukar menjadi detik tidak disangka buat Ramat Hidayat Ithnin, 40, apabila Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh masih mengingati bapanya itu.
Ramat berkata, dia hanya menceritakan sedikit mengenai latar belakang bapanya, Ithnin Kassim, 73, ketika Ab Rauf berkunjung ke rumah mereka, namun tidak menyangka cerita itu terus mendapat perhatian daripada Ketua Menteri.
βBila saya cerita sedikit tentang ayah, Tok Rauf terus kata, βya, saya kenalβ. Datuk masih ingat ayah yang pernah kerja di jabatan kesihatan.
βSaya terkejut juga sebab walaupun beliau sibuk, masih ingat orang kampung termasuk ayah saya,β katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.
Terdahulu, Ithnin menerima sumbangan daripada Ab Rauf pada Ziarah Kasih Pesakit Terlantar sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Taman Tamby Chik Karim, di sini, pada Selasa.
Menurut Ramat, kunjungan itu amat bermakna buat keluarganya apabila Ab Rauf bukan sekadar datang menziarahi, malah meluangkan masa bertanya khabar dan melihat sendiri keadaan bapanya yang kini terlantar sepenuhnya di atas katil.
Katanya, Ithnin pernah berkhidmat di Jabatan Kesihatan sekitar 1980-an sebelum bersara ketika berusia kira-kira 57 tahun kerana keadaan kesihatannya semakin merosot.
βSekarang ayah memang 24 jam atas katil. Mahu bergerak atau pusing badan pun tidak boleh. Jadi makan, minum, mandi dan bersihkan badan semuanya dibuat atas katil.
“Ayah sudah hampir 13 tahun berdepan masalah kesihatan termasuk obsessive-compulsive disorder (OCD), Parkinson dan keadaan tulang yang semakin rapuh.
“Adik-beradik bergilir-gilir jaga ayah, ada yang uruskan mandi dan bersihkan badan, ada yang memasak dan buat bubur. Mak pun masih membantu jaga ayah walaupun dia sendiri ada masalah kesihatan,β katanya.
Mengimbas kunjungan Ab Rauf, Ramat berkata, sebelum ini dia hanya mengenali Ketua Menteri menerusi televisyen, namun pertemuan secara dekat memberi gambaran berbeza terhadap pemimpin berkenaan.
βSebelum ini saya tengok beliau di televisyen sahaja. Tidak sangka pula bila jumpa depan-depan, sangat mesra dan buat kami rasa dekat walaupun beliau orang kenamaan.
βBagi kami, 10 minit masa yang beliau luangkan pun sudah cukup besar maknanya dan kami anggap itu satu rahmat untuk keluarga,β katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

