AHMAD IRFAN GENGGAM ANUGERAH KETUA PENGARAH

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SELANDAR 9 September – Pengalaman memimpin rakan pelajar ketika menggalas tanggungjawab sebagai Yang Dipertua (YDP) Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Kolej Komuniti Selandar (KKSL) menjadi antara pencapaian bermakna buat graduan Sijil Landskap, Ahmad Irfan Md Azwan.

Lebih membanggakan, apabila Ahmad Irfan berjaya merangkul Anugerah Ketua Pengarah POLYCC Peringkat Zon Selatan sempena Majlis Konvokesyen POLYCC Zon Selatan 2026 di Dewan Wawasan Politeknik Port DICKSON, Negeri Sembilan pada 5 September lalu.

Bagi Ahmad Irfan, kejayaan itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian sepanjang pengajian, malah menjadi kenangan manis selepas melalui pengalaman membangunkan diri dalam bidang kemahiran selain diberi kepercayaan memimpin JPP KKSL.

Penglibatannya sebagai YDP JPP turut memberi ruang kepadanya mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi dan pengurusan selain belajar memahami tanggungjawab dalam membawa suara rakan pelajar.

Anugerah berkenaan sekali gus membuktikan perjalanan Ahmad Irfan di KKSL bukan hanya tertumpu kepada kemahiran teknikal dalam bidang landskap, malah membentuk dirinya sebagai graduan mempunyai nilai kepimpinan, sahsiah dan keterampilan.

Majlis konvokesyen itu meraikan seramai 7,770 graduan Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Selatan membabitkan Negeri Sembilan, Melaka serta Johor dan dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.

Kejayaan Ahmad Irfan turut menjadi kebanggaan KKSL dan diharapkan dapat memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk memanfaatkan peluang sepanjang tempoh pengajian, bukan sahaja bagi menguasai kemahiran, malah membina keyakinan serta kepimpinan diri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

375
Kongsi :
Previous post ‘LEGA SUAMI KEMBALI MAMPU URUS DIRI’