MENARA TELEKOMUNIKASI BAHARU DIBINA DI PAYA LEBAR

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER LIMAU 8 September – Penduduk di kawasan Paya Lebar bakal menikmati capaian komunikasi lebih baik apabila sebuah menara telekomunikasi baharu dijangka siap menjelang awal Mac 2027.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penyediaan kemudahan itu merupakan antara komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh infrastruktur digital bagi manfaat masyarakat setempat.

“Insya-Allah, menjelang awal Mac 2027, warga Paya Lebar bakal menikmati sebuah menara telekomunikasi baharu yang dijangka memberikan manfaat kepada penduduk sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Jeti Paya Lebar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta lain-lain kenamaan.

Menurutnya, kemudahan telekomunikasi yang lebih baik penting bagi menyokong keperluan harian rakyat termasuk pendidikan, urusan pekerjaan, perniagaan serta aktiviti ekonomi digital.

Menara berkenaan dibina di Lot 59, Mukim Ramuan China Besar membabitkan struktur setinggi 60 meter dan keluasan 15 x 15 meter.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

316
Kongsi :
Previous post WARGA AYER LIMAU TERIMA INSENTIF BELANJA RAKYAT, BERAS PERCUMA
Next post ORANG AYER LIMAU BERTUAH DAPAT BUAH TANGAN DARIPADA TOK RAUF