SISA DAPUR JADI BAJA, BERPOTENSI JANA EKONOMI KELUARGA

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER LIMAU 10 September – Pertanian organik dilihat bukan sekadar aktiviti mengisi masa lapang, malah mampu menjadi alternatif kepada masyarakat untuk mengurangkan kos sara hidup, selain menjana pendapatan tambahan keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, amalan bercucuk tanam secara organik boleh dimulakan dari rumah dengan memanfaatkan bahan yang mudah diperoleh di sekeliling, termasuk sisa makanan dan sayur-sayuran.

Menurutnya, hasil tanaman yang diusahakan secara kecil-kecilan bukan sahaja boleh digunakan untuk keperluan sendiri dan keluarga, malah berpotensi dikembangkan kepada aktiviti yang menjana pendapatan.

“Ini menunjukkan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau menyedari bahawa pertanian secara organik boleh menyumbang kepada ekonomi rumah tangga mereka.

“Kalau mereka tidak mahu menjadi usahawan sekalipun, sekurang-kurangnya hasil tanaman itu boleh digunakan untuk kegunaan sendiri dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Kursus Pertanian Bandar Pembuatan Baja Organik FPJ, FFJ dan FAA sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Limau di Dewan Tan Sri (Dr) Abu Seman, di sini, hari ini.

Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, penyertaan dalam kursus itu pada awalnya disasarkan kepada 50 orang sebelum ditambah kepada 130 peserta susulan permintaan yang tinggi.

“Menerusi kursus ini, sekurang-kurangnya peserta boleh meringankan kos sara hidup keluarga dengan menghasilkan baja organik sendiri untuk tanaman mereka.

“Benda ini mudah. Menggunakan sisa-sisa makanan, sisa-sisa sayur-sayuran ataupun ikan yang hendak dimasak, itu sahaja sudah cukup untuk mereka membuat baja secara organik.

“Cuma kaedah pembuatannya mereka perlu ada ilmu dan melalui kursus inilah ilmu itu disampaikan kepada mereka,” katanya.

Sebagai langkah permulaan, peserta turut diberikan anak pokok cili dan pokok kelapa pandan secara percuma, selain kit baja serta bekas penyemaian benih bagi sebahagian peserta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

342
Kongsi :
Previous post WRUR AYER LIMAU: RESAH SETIAP KALI RIBUT PETIR BERAKHIR, PENDAWAIAN ELEKTRIK UZUR DIGANTI BAHARU
Next post ‘LEGA SUAMI KEMBALI MAMPU URUS DIRI’