
36 DARIPADA 97 ADUAN WRUR DUN AYER LIMAU SELESAI
AYER LIMAU 10 September – Sebanyak 36 daripada 97 aduan rakyat yang diterima menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau berjaya diselesaikan setakat ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, baki lebih 60 aduan sedang dalam tindakan dan pihaknya menyasarkan sebanyak mungkin aduan dapat diselesaikan dalam tempoh minggu ini.
Katanya, aduan diterima meliputi pelbagai isu infrastruktur dan kemudahan awam termasuk longkang pecah dan tersumbat, jalan kampung serta lampu jalan.
“Secara keseluruhan kita menerima 97 aduan dan sudah menyelesaikan hampir 37 aduan. Ada antara aduan tersebut yang tidak dapat diselesaikan dalam jangka pendek kerana memerlukan penyelesaian jangka panjang serta melibatkan kos yang besar.
“Baki lebih 60 aduan lagi kita usahakan untuk diselesaikan dalam minggu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Program Ekspedisi Lestari anjuran Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Limau, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hameed berkata, usaha menyelesaikan aduan berkenaan turut diperkukuh menerusi kerjasama agensi kerajaan dan pihak swasta.
Katanya, kerjasama berkenaan membolehkan beberapa keperluan asas penduduk ditangani dengan lebih cepat, khususnya membabitkan kemudahan pencahayaan di kawasan kampung.
“Berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum penutup WRUR DUN Ayer Limau, kita memang harapkan dapat menyelesaikan sebanyak mungkin aduan demi keselesaan rakyat dan penduduk.
“Sebagai contoh, PTHM telah menyumbangkan 48 batang lampu solar untuk kawasan tanah wakaf dan tanah perkuburan dalam DUN Ayer Limau, manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyumbangkan 50 batang lampu untuk kegunaan jalan kampung.
“Sumbangan ini antara perkara yang membantu kita menyelesaikan masalah yang dibangkitkan menerusi aduan rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

