SUKARELAWAN PARAKOM PERLU KUASAI KEMAHIRAN TANGANI SITUASI CEMAS

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

TANJUNG BIDARA 17 September – Sukarelawan yang mengikuti Kursus Tahap 2 Paramedik Komuniti (PARAKOM) bukan sahaja perlu mahir memberikan rawatan perubatan awal, sebaliknya turut memiliki kemahiran untuk menenangkan dan memberikan sokongan kepada mangsa kecemasan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sehubungan itu semua sukarelawan PARAKOM perlu melengkapkan diri dengan kemahiran itu kerana ketika ini mereka adalah barisan hadapan akan memberikan bantuan awal kepada mangsa kecemasan sementara menunggu ketibaan pasukan perubatan dan ambulans.

“Saya berikan perhatian terhadap perkara ini berdasarkan pengalaman yang saya sendiri lalui. Ketika itu rakan baik saya sendiri menjadi mangsa kecemasan, ambulans pula hanya tiba selepas 45 minit.

“Berikutan itu amat penting bagi setiap sukarelawan PARAKOM memiliki kemahiran untuk menenangkan mangsa kecemasan yang sudah pastinya mengharapkan individu sekelilingnya melakukan sesuatu.

“Kita mungkin tidak mampu mengubah keadaan, tetapi sekurang-kurangnya membantu menenangkan mereka dan memberikan bantuan awal yang diperlukan,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kursus Paramedik Komuniti (PARAKOM) Tahap 2, Saringan Kesihatan Komuniti dan Klinik Harta Pusaka Kecil bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Balai Raya Pengkalan Balak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zukliflee Mohd Zin serta kenamaan lain.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, sukarelawan PARAKOM mesti mempunyai kemahuan untuk bukan sekadar memiliki sijil tetapi menjadi manusia yang berguna kepada orang lain ketika mereka memerlukan.

“Buat kerja ini dengan niat untuk membantu orang. Balasan mungkin bukan di dunia, tetapi insya-Allah ada keberkatan daripada Allah SWT,” katanya.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, usaha Kerajaan Negeri memperluas penyertaan PARAKOM di setiap DUN merupakan kesinambungan kepada inisiatif Kampung Digital dalam memastikan masyarakat mendapat akses kepada bantuan dan perkhidmatan yang lebih dekat dengan komuniti.

Katanya, sukarelawan juga akan diberikan pendidikan dan latihan berkaitan bantuan kecemasan menerusi kerjasama pihak berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan St John Ambulance Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan keperluan terhadap kemudahan ambulans turut menjadi antara perkara yang perlu diberikan perhatian susulan pertambahan penduduk Melaka yang kini mencecah kira-kira satu juta orang.

“Dengan jumlah rakyat Melaka yang sudah hampir satu juta orang kita memerlukan lebih banyak sokongan di peringkat komuniti.

“Sekurang-kurangnya apabila berlaku kecemasan, ada individu yang terlatih untuk memberikan bantuan awal dan menenangkan keluarga sementara menunggu bantuan seterusnya,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

326
Kongsi :
Previous post TOK RAUF PESAN JANGAN BIAR ‘AI’ ASUH HIDUP ANAK-ANAK
Next post ‘ITU PARTI DIA, SAYA JAGA KEPENTINGAN PARTI SAYA’ – AB RAUF