PADANG KEMUNTING IKON PELANCONGAN PENYU TERCANTIK NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

TANJUNG BIDARA 17 September – Pantai Padang Kemunting berpotensi diangkat sebagai ikon pelancongan penyu tercantik di negara ini, sekali gus menjadi produk pelancongan baharu yang mampu memperkukuh daya tarikan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, keunikan penyu karah yang terdapat di Padang Kemunting menjadi aset pelancongan yang wajar diketengahkan, khususnya kerana kawasan itu mempunyai pusat penetasan dan pemuliharaan spesies berkenaan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan menjalankan kajian terperinci bagi melihat potensi Padang Kemunting untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan yang memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan sendiri penyu karah, termasuk ketika musim bertelur.

“Pastinya saya nak jadikan Tanjung Bidara ini sebagai satu pusat pelancongan baharu yang menjadi daya tarikan iaitu pemuliharaan penyu iaitu penyu karah yang merupakan antara spesies tercantik di negara ini.

“Potensi untuk memajukan kawasan Padang Kemunting ini sebagai satu destinasi pelancongan baharu akan dibuat kajian yang terperinci supaya kawasan ini nanti akan menjadi tarikan kepada pelancong untuk dapat melihat musim penyu bertelur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pelepasan Anak Penyu Karah sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting, di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Ketua Menteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Pengarah Perikanan Negeri Melaka Saufi Affandi Talib serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, usaha memperkenalkan Padang Kemunting sebagai produk pelancongan baharu turut merangkumi penyediaan maklumat lebih terperinci mengenai musim penyu naik ke pantai untuk bertelur.

“Ini memastikan bahawa bila pelancong datang, dia boleh tengok dan kawasan ini juga nanti kita akan beritahu waktu bila dan tarikhnya bila penyu ini nak naik dan kita akan memberikan maklumat-maklumat yang terperinci mengenai hidupan ini bagi tujuan pembelajaran.

“Insya-Allah kita akan melihat peluang kolaborasi bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memperkukuh promosi Padang Kemunting sebagai produk pelancongan baharu,” katanya.

Jelas beliau, setakat ini, lebih 80,000 pengunjung telah direkodkan mengunjungi pusat konservasi itu yang turut menempatkan galeri, pusat penternakan serta kolam untuk membolehkan pengunjung melihat penyu secara lebih dekat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

643
Kongsi :
Previous post ASNAF MUALAF DIUJI, MAIM TERUS DEKATI