‘BLACK PANTHER’ COMEL PENYERI BAHARU ZOO MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 1 Oktober – Zoo Melaka terus mencatat perkembangan positif dalam usaha pemuliharaan hidupan liar apabila seekor anak harimau kumbang (Panthera pardus) jantan dilahirkan secara semula jadi pada 22 Julai lalu.

Pegawai Sains Zoo Melaka, Muhammad Rafiq Jasmi berkata, anak harimau kumbang itu dilahirkan dalam keadaan sihat serta aktif menyusu selepas kelahiran.

Katanya, kelahiran itu merupakan yang kedua bagi induk betina bernama Minah Beting, selepas sebelum ini melahirkan anak pertama, Jebat yang kini berusia lebih setahun.

“Minah Beting telah menunjukkan pengalaman yang baik dalam menjaga anak dan bagi kelahiran kedua ini, ia dipasangkan dengan induk jantan bernama Tommy yang berusia 11 tahun.

“Kira-kira seminggu sebelum kelahiran, pihak Zoo Melaka membuat persiapan rapi termasuk memeriksa keselamatan pintu dan pagar, memasang kamera litar tertutup (CCTV), menyediakan kotak kelahiran serta mengasingkan induk jantan lima hari sebelum kelahiran,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, kawasan kurungan Minah Beting turut ditutup menggunakan ‘blacknet’ bagi mengurangkan gangguan dari luar serta mewujudkan persekitaran lebih terlindung dan selesa kepada induk berkenaan.

Katanya, selepas kelahiran, kakitangan Seksyen Harimau bersama Unit Veterinar Zoo Melaka menjalankan pemantauan selama 24 jam sepanjang minggu pertama bagi memastikan keadaan ibu dan anak berada pada tahap baik.

“Selain pemantauan berterusan, pemeriksaan kesihatan turut dilakukan secara berkala dan hasil pemeriksaan pada minggu pertama menunjukkan sistem tubuh anak harimau itu berada dalam keadaan normal dengan skor keadaan badan (BCS) yang baik.

“Setakat ini, keadaan ibu dan anak sihat dan stabil. Induk betina mempunyai selera makan yang baik manakala anaknya pula menunjukkan perkembangan normal,” katanya.

Kelahiran itu menjadi satu lagi perkembangan positif dalam pengurusan dan pembiakan harimau kumbang di Zoo Melaka, selain mencerminkan usaha berterusan zoo berkenaan dalam pemuliharaan spesies hidupan liar terancam.

Harimau kumbang merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

541
Kongsi :
Previous post PEMERKASAAN BAKAT PROFESIONAL MARITIM, PELABURAN PENTING UNTUK MALAYSIA
Next post MELAKA MEMBINA MASA DEPAN MARITIM LEBIH HEBAT