ANUGERAH TOKOH PANGLIMA AWANG, IKTIRAF KECEMERLANGAN ANAK MELAKA DALAM BIDANG PENGAJIAN MARITIM

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LINGGI 1 Oktober – Kerajaan Negeri bercadang untuk memperkenalkan Anugerah Tokoh Panglima Awang sebagai satu bentuk pengiktirafan kepada pelajar cemerlang di Akademi Laut Malaysia (ALAM).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, amat penting bagi Kerajaan Negeri untuk memberikan pengiktirafan kepada anak-anak Melaka yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang maritim.

Katanya, perkara ini akan diteliti dan diperincikan bersama pihak ALAM supaya anugerah dicadangkan bukan sahaja menjadi pengiktirafan kepada kecemerlangan akademik, tetapi turut menjadi simbol kepada aspirasi Melaka untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional dan pemimpin muda dalam sektor maritim.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan meneliti cadangan untuk memperkenalkan Anugerah Tokoh Panglima Awang sebagai suatu bentuk pengiktirafan kepada pelajar cemerlang di ALAM.

“Sebarang keputusan muktamad, pengumuman rasmi, pewujudan anugerah atau implikasi kewangan berkaitan cadangan tersebut akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri selepas tamat tempoh Kerajaan Sementara, selaras dengan prinsip ‘Caretaker Government’,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri ‘The Next Wave: Maritime Education Symposium’ sempena Minggu Maritim Malaysia 2026 di Kampus ALAM, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat @Limat.

Yang turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan MISC Berhad Datuk Zahid Osman, Pengerusi Malaysia Maritime Academy Sendirian Berhad Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Naib Presiden, Marine Services, MISC Berhad Mohd Denny Mohd Isa dan Ketua Eksekutif Akademi Laut Malaysia Prof Emeritus Datuk Dr. Abu Abdullah serta kenamaan lain.

Terdahulu pada majlis sama Ketua Menteri turut menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman antara Kerajaan Negeri Melaka dan MISC Berhad.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri melalui Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) sentiasa berusaha memastikan faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak-anak Melaka untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang mempunyai prospek kerjaya tinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

414
Kongsi :
Previous post TENDER JEJANTAS TUN TEJA TELUS, IKUT PROSEDUR PEROLEHAN – MBMB
Next post TAPEM SEDIA BANTU ANAK MELAKA LANJUTKAN PENGAJIAN DI ALAM