
ADUAN PENGGUNA: KPDN MELAKA SIASAT DALAM 24 JAM
AYER KEROH 1 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menyasarkan setiap aduan pengguna yang diterima dapat diberi tindakan dan siasatan dalam tempoh 24 jam bagi memastikan isu berkaitan kepenggunaan ditangani dengan segera.
Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, sasaran berkenaan turut meliputi aduan berkaitan harga barangan yang didakwa tidak munasabah, dengan pemeriksaan akan dijalankan bagi memastikan bekalan serta keadaan pasaran berada pada tahap mencukupi.
Menurutnya, pemantauan terhadap kecukupan bekalan makanan penting bagi memastikan isu kenaikan harga tidak dimanipulasi atau dibangkitkan tanpa asas yang jelas.
“Contohnya harga barang tinggi, cendol mahal, cencalok mahal, terus maklumkan kepada KPDN dan kita akan membuat siasatan sepantas yang boleh.
“Kita mahu mendidik orang ramai agar lapor dulu sebelum viral, bukan viral dahulu baru lapor,” katanya pada sidang media selepas perasmian Program PATUH (3P) 2026 di Taman Buaya dan Rekreasi Melaka, di sini, hari ini.
Justeru, beliau menyarakan orang ramai khususnya pengguna menyalurkan aduan kepada KPDN sekiranya mendapati berlaku ketidakpatuhan harga atau perkara mencurigakan, berbanding terus menyebarkannya di media sosial.
Katanya, setiap aduan yang diterima membolehkan pihaknya mendapatkan maklumat tepat di lapangan sebelum tindakan lanjut diambil, sekali gus memastikan tindakan penguatkuasaan dibuat berasaskan fakta.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


