BALAI ISLAM MAIM PERKUKUH PERANAN SEBAGAI PUSAT IMARAH, BINA MASYARAKAT

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

ALOR GAJAH 1 Oktober – Bahagian Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berpotensi besar untuk terus diperkasakan sebagai pusat pengimarahan dan pembinaan masyarakat menerusi pengukuhan aktiviti keagamaan, pendidikan, kebajikan serta kemasyarakatan.

Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, usaha berkenaan dapat direalisasikan menerusi penglibatan aktif Skuad Sukarelawan Balai Islam (SSBI) dan Guru Halaqah yang mempunyai kemahiran serta komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Saya percaya Bahagian Balai Islam MAIM mempunyai potensi besar untuk terus menjadi pusat pengimarahan dan pembinaan masyarakat.

“Dengan SSBI yang aktif dan Guru Halaqah yang berkemahiran, pelaksanaan aktiviti keagamaan, pendidikan, kebajikan dan kemasyarakatan dapat diperkukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Kursus Training of Trainer (TOT) Skuad Sukarelawan Balai Islam (SSBI) dan Guru Halaqah Balai Islam Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Ahad.

Shaifulfazlee berkata, pengukuhan peranan Balai Islam tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan, sebaliknya kualiti, keberkesanan dan impaknya terhadap masyarakat perlu diberikan keutamaan.

“Saya berharap usaha ini terus berkembang pada tahun-tahun mendatang, bukan sekadar dari segi bilangan program, tetapi lebih utama pada kualiti, keberkesanan dan impaknya kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, pendekatan berhikmah, berhemah dan penuh kebijaksanaan juga perlu sentiasa diutamakan oleh Guru Halaqah dan sukarelawan dalam melaksanakan amanah, khususnya ketika menyantuni serta membimbing saudara baharu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan Kursus TOT berkenaan, khususnya penganjur, urus setia, fasilitator dan peserta atas komitmen yang diberikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

420
Kongsi :
Previous post ADUAN PENGGUNA: KPDN MELAKA SIASAT DALAM 24 JAM