
TVET LAHIR PENCIPTA TEKNOLOGI MESRA ALAM
AYER KEROH 2 Oktober – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sekadar melahirkan tenaga mahir dalam pengendalian mesin dan teknologi, malah berperanan membentuk generasi pencipta penyelesaian teknologi yang lebih mesra alam.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan berkata, pendekatan menerusi inisiatif Green TVET membuktikan pendidikan kemahiran mampu bergerak seiring dengan keperluan kelestarian serta pembangunan negara.
Menurutnya, agenda kelestarian perlu diberi perhatian dalam pembangunan ekonomi berikutan cabaran perubahan iklim, krisis sumber dan pencemaran alam yang memerlukan penyelesaian berasaskan teknologi dengan mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar.
“Dalam konteks pembangunan negara, agenda kelestarian merupakan tiang seri kepada pembangunan ekonomi bernilai tinggi dan berterusan.
“Cabaran seperti perubahan iklim, krisis sumber daya dan pencemaran alam memerlukan penyelesaian yang bukan sahaja berasaskan teknologi tetapi turut mengambil kira kesan terhadap alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Polytechnic & Community College Sustainability Award 2026 (PolyCCSustAwards 2026) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, pada Rabu.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Ulaimi Yahya.
Dalam pada itu, Mohd Nor Azman menyambut baik pelaksanaan Rangka Tindakan Kemampanan PolyCC 2026-2050 yang disifatkan sebagai hala tuju jangka panjang dalam memperkukuh amalan kelestarian secara menyeluruh dalam ekosistem TVET Hijau negara.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan graduan TVET bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, tetapi turut mempunyai keupayaan menghasilkan inovasi dan penyelesaian yang menyokong pembangunan lestari.
“Matlamat kita bukan sekadar melahirkan graduan mahir menggunakan teknologi, tetapi generasi TVET yang mampu menggunakan kemahiran dan daya cipta mereka untuk menghasilkan penyelesaian lebih lestari,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

